Thursday, December 25, 2008

Banjir Di Kampung Baru Ampang Baharu - 19 Dis 2008



Hujan lebat selama beberapa jam telah mengakibatkan Sungai Pinji tepu dan akhirnya melimpah keluar. Beberapa kawasan dalam Bandaraya Ipoh telah dilanda banjir.Kawasan saya tidak terkecuali.

Tindakan segera daripada pihak bomba dan penyelamat yang telah membawa keluar mangsa daripada tempat kejadian telah dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Tempat yang paling tinggi dinaiki air dianggarkan sedalam 4 kaki. Menurut penduduk disitu, ini adalah banjir yang paling teruk dialami selama ini. Mujur air mulai surut pada kira-kira jam 12.30 malam.

Pertukaran Geran Kekal - 16 Dis 2008









Program penukaran geran kepada geran milik kekal atau milik selama-lamanya yang merupakan salah satu polisi baru Kerajaan Negeri Perak mendapat maklum balas yang sangat baik dikalangan rakyat negeri Perak. Bagi memudahkan urusan penukaran ini, saya telah mengambil inisiatif menjemput para pegawai Pejabat Tanah Kinta (Ipoh) untuk 'turun padang' bagi membantu mereka yang berminat supaya urusan penukaran dapat dipermudahkan dan membantu pemohon dalam aspek teknikal, juga menyenangkan pemohon berdekatan daripada urusan perjalanan ke Pejabat Tanah.

Program pada 16hb Disember ini adalah yang julung-julung kali diadakan dan saya merasa berbesar hati dapat menjadi orang yang pertama menganjurkannya.

Program diadakan di 2 tempat berbeza pada hari yang sama. Pada sebelah paginya, ianya telah diadakan di Dewan Tokong Fook Tat Chee, Gunung Rapat. Manakala pada sebelah lewat tengahari hingga ke petang, ianya telah diadakan di Dewan Ampang Bharu Death Benefit Society. Di Ampang keadaan penuh sesak dengan pemohon dan ada sesetengahnya datang daripada luar kawasan DUN Simpang Pulai.

Seramai 10 orang pegawai daripada Pejabat Tanah Kinta hadir membantu dan para petugas dan sukarelawan daripada DUN Simpang Pulai juga tampil membantu di mana yang boleh. Kami membantu dalam penjualan borang, pengiraan kos premium tanah, pengisian borang dan memberi penerangan kepada pemohon.

Program pada hari itu telah berjalan dengan lancar serta mendapat kunjungan daripada Timbalan Speaker Negeri Perak, YB Puan Hee Yit Foong dan suaminya.

Jutaan terima kasih saya rakamkan kepada kesepuluh pegawai daripada Pejabat Tanah Kinta (Ipoh) dan para petugas yang telah bertungkus lumus menjayakan program pada hari itu.

Wednesday, December 17, 2008

Diari Separuh Hari - 13 Disember 2008



Bagi merealisasikan Program Turun Padang bagi Penukaran Geran kepada Geran Milik Kekal yang bakal berlangsung pada 16 Disember 2008, diari separuh hari saya bermula pada jam lebih kurang 4.30 petang. Pada waktu itu saya sempat menjamah sekeping roti dan secawan kopi. Pada jam 5 petang, saya bersama Pegawai-pegawai Khas saya telah ke Kampung Seri Ampang B, bagi mengedarkan risalah dan memberi penerangan kepada para penduduk mengenai penukaran geran kekal tersebut.

Malang tidak berbau, baharu sahaja kami bermula, salah seorang Pegawai Khas saya, Sdr Tan Kar Hing telah digigit anjing. Walaupun lukanya tidak serius tetapi memerlukan rawatan segera. Kami yang tinggal masih meneruskan kerja-kerja penerangan yang berakhir kira-kira 2 jam kemudian. Saya juga berkesempatan untuk berbincang dengan Ketua Kampung Seri Ampang, Ustaz Shoib atas beberapa perkara.

Selepas selesai mengedarkan risalah, saya bergegas ke kediaman Sdr Tan bagi menjenguk keadaan beliau, dan kemudiannya terus ke Dewan Ampang Bharu Death Benefit Society. Di situ, saya telah memberi penerangan kepada penduduk setempat tentang program penukaran kekal ini. Kami juga telah membuat pengiraan tentang anggaran premium yang perlu dibayar oleh pemohon.

Program penerangan di situ berakhir kira-kira jam 9.15 malam. Saya memandu membelah malam bagi mencari tempat untuk mengisi perut. Dalam perjalanan, telefon saya berdering. Satu kebakaran sedang berlaku di sebuah rumah di Lorong Gunung Rapat 15. Saya pun berpatah balik ke tempat kejadian.

Saya dapati pihak bomba sedang bertungkus lumus memadam api. Syukurlah tiada kecederaan kerana tiada penghuni berada di rumah. Beberapa letupan kecil berlaku yang agak mencemaskan dan pihak TNB telah memotong bekalan elektrik. Kebakaran telah dapat dikawal sepenuhnya pada jam 10 malam dan pihak bomba masih menyiasat punca kejadian.

Setelah itu, baharulah saya memandu semula bagi mencari makanan untuk mengisi perut yang telah lama berkeroncong. Demikian adalah lumrah dalam diari separuh hari saya.

JERIT - Jaringan Rakyat Tertindas




Ketika artikel ini ditulis, rakan seperjuangan saya YB Dr Jeyakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput, diberitakan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001, atas penganjuran kempen berbasikal, 'Rakyat Pengayuh Perubahan'.

Kempen ini dijayakan oleh satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai 'JERIT' iaitu singkatan kepada Jaringan Rakyat Tertindas. Objektif JERIT ialah untuk membangkitkan kesedaran rakyat atas isu-isu rakyat yang memerlukan perhatian segera. Mereka berbasikal sambil mengumpulkan tandatangan atas tuntutan yang yang akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia pada 18 Disember 2008. Terdapat 6 tuntutan daripada JERIT.

Yang pertama - Gubal Akta Gaji Minima. Kedua - Mansuhkan ISA. Ketiga - Perumahan Selesa Untuk Rakyat. Keempat - Kawal Harga Barangan. Kelima - Pulihkan Pilihanraya Majlis Tempatan. Keenam - Hentikan Penswastaan Perkhidmatan Asas.

JERIT telah singgah di pekan Gopeng pada 12 Disember 2008 dan diraikan oleh pihak kami dengan jamuan makan tengahari dan ucapan alu-aluan serta kata-kata perangsang daripada saya sendiri. Kami turut mendoakan agar mereka berhati-hati dalam perjalanan dan selamat sampai ke destinasi mereka.

Persatuan Seni Silat Gayung


Seni mempertahankan diri menjadi satu bentuk kegiatan sukan yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ianya telah menjadi sebagai satu keperluan bagi orang ramai untuk belajar seni mempertahankan diri, samada taekwando, silat mahupun kick-boxing.

Bagi para remaja, selain daripada belajar mempertahankan diri, kegiatan seperti ini juga dapat menghindarkan mereka daripada terjerumus kepada kegiatan yang tidak sihat seperti merokok dan penyalah gunaan dadah. Kerana belajar seni mempertahankan diri memerlukan kepada kesihatan fizikal dan mental.

Dalam usaha menyokong dan menggalakkan kegiatan seperti ini, saya dengan berbesar hati telah menyumbangkan sejumlah RM1000 pada tarikh 4 Disember 2008, kepada Persatuan Silat Gayung dalam pimpinan Puan Shila. Diharap ianya akan sedikit sebanyak menyumbang kepada pembentukan belia yang lebih sihat, cerdas dan mantap.

Friday, December 5, 2008

Sumbangan Untuk Kuil Sri Muneeswarar - 26 Nov 2008




Kuil Sri Muneeswarar, suatu kuil yang terletak di jalan besar kawasan industri Simpang Pulai adalah sebuah kuil penganut agama Hindu yang aktif dan mempunyai ramai penganut yang datang ke situ untuk mempraktikkan upacara keagamaan mereka.

Kerajaan Negeri, melalui peruntukan DUN Simpang Pulai telah memperuntukkan sumbangan berupa kerusi, papan tulis dan sedikit bantuan kewangan. Wakil-wakil kuil di situ amat terharu dengan sumbangan yang diterima seraya mendoakan kesejahteraan saya. Saya juga merasa amat tersentuh dengan sikap mesra yang ditunjukkan.

Adakalanya, menjadi wakil rakyat membuatkan kita berasa amat dekat dengan masyarakat, walaupun berlainan latar belakang dan fahaman agama.

Sumbangan Untuk SK Taman Bersatu - 26 Nov 2008


Walaupun saya tidak dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah dalam DUN seliaan saya, saya masih tidak melupakan yang saya ada tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat yang perlu menjaga kepentingan semua tanpa mengambil kira fahaman agama, warna kulit ataupun fahaman politik.

Untuk itu, saya telah menyumbangkan kerusi-kerusi plastik bagi kegunaan pihak sekolah. Tidak apa, sungguhpun kehadiran saya tidak dilayan sebagai seorang wakil rakyat. Asalkan barangan sumbangan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.

Sumbangan Deepavali ke Ladang Sengat - 23 Nov 2008



Sebanyak 20 bungkusan berupa barangan makanan, sumbangan Kerajaan Negeri telah disampaikan kepada 20 keluarga India yang mendiami Ladang Sengat. Ladang Sengat atau lebih dikenali sebagai 'Sengat Estate' adalah penempatan bagi para pekerja Ladang Sengat sejak bertahun lamanya.

Kawasan yang dahulunya merupakan ladang kelapa sawit, bertukar menjadi kawasan perumahan. Bekas para pekerja ladang masih tinggal di situ. Mereka dikenali sebagai 'peneroka bandar'. Bancian telah dibuat pada tahun 2006 tetapi penempatan semula para penduduk masih dalam tahap perbincangan.

Mengambil kira keperluan, kehendak dan keadaan semasa, sebagai wakil rakyat, saya akan cuba mendapatkan jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.