Sunday, August 16, 2009

Malam Kembalikan Hak Rakyat - 9 Ogos 2009



Satu majlis makan malam anjuran ranting Kampung Baru Simpang Pulai dan Ranting Taman Bersatu telah diadakan bagi mencari dana untuk ranting-ranting tersebut menjalankan segala aktiviti mereka serta persiapan kemungkinan bakal diadakan pilihanraya negeri Perak.

Lebih 46 buah meja telah berjaya dijual termasuk meja-meja yang menyajikan makanan halal.

Pimpinan tertinggi yang hadir, Dato' Seri Ir Nizar, YB Sivakumar, YB Dr Lee Boon Chye dan tentunya saya sendiri. Selain daripada itu, amat dialu-alukan juga pimpinan Cabang Gopeng termasuk Ketua Wanita Negeri, Puan Fathmawaty Salim yang telah sudi hadir.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran para hadirin yang datang untuk mendengar ceramah pada malam itu. Juga terima kasih kepada pihak polis yang begitu 'cool' dan cuma memerhatikan dari jauh.

Suasana sungguh meriah dengan penceramah yang begitu bersemangat dan para hadirin yang begitu responsif. Majlis digamatkan lagi dengan acara cabutan bertuah.

Sekalung tahniah buat penganjur. Syabas!

Friday, August 14, 2009

Sumbangan Kasih Sayang - 5 Ogos 2009





Walaupun tidak lagi mempunyai dana daripada Kerajaan Negeri, saya masih cuba membantu penduduk dalam kawasan seliaan saya selagi termampu.

Telah datang kepada pengetahuan saya tentang nasib Saudara Anorbit bin Abdul Rahman yang telah pun berusia 60 tahun tetapi masih bekerja sebagai pengawal keselamatan. Sdr Anorbit mempunyai isteri dan seorang anak yang masih menuntut. Rumah kediaman beliau uzur dengan atap zink yang bocor.

Sejumlah kepingan zink disumbangkan bagi menggantikan yang telah bocor. Saudara Abu Bakar Mat Hasan yang juga merupakan ketua kampung, Kampung Simpang Pulai Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, banyak membantu dari segi tenaga dan hal ehwal kebajikan penduduk kampung. Beliau tetap setia menjalankan tugasnya dengan penuh amanah walaupun tidak lagi mendapat sebarang elaun. Bagi diri saya sendiri, tiada apa yang dapat saya berikan selain sekalung terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen beliau dan persaudaraan yang dihulurkan olehnya terhadap saya walaupun kami berlainan fahaman agama.

Semoga dengan sumbangan tersebut, Sdr Anorbit sekeluarga dapat menyambut kedatangan Ramadhan dengan lebih selesa.

Sukan, Pengerat Silaturrahim - 26 Julai 2009




Bagi menggalakkan aktiviti yang sihat di kalangan penduduk kawasan DUN Simpang Pulai, saya telah menghadiahkan satu set jaring gol futsal dan sebuah piala pusingan kepada penduduk Taman Chandan Desa.

Rukun Tetanga Taman Chandan Desa pula mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu pertandingan futsal dikalangan penduduk Chandan Desa dan Taman Bersatu yang berdekatan.

Sebanyak 8 buah pasukan telah mengambil bahagian pada pagi Ahad tersebut. Dan saya telah diberi peluang merasmikannya dengan membuat sepakan penalti. Malangnya, bola tersasar jauh...

Saya merasa cukup terhibur dan kagum melihat gelagat dan semangat kesukanan para peserta dan penonton.

Sukan sebegini memang patut digalakkan kerana ianya dapat mengeratkan silaturrahim sesama jiran tetangga dan di antara golongan remaja dan dewasa.

Sikap sebegini jika dipupuk dan dijaga, akan dapat membendung gejala sosial dikalangan masyarakat pada hari ini.