Wednesday, May 26, 2010

Kutip tandatangan dan Keputusannya..... 25 Mei 2010

Saya ambil tandatangan penjaja Pasar Gunung Rapat atas pendirian mereka masing-masing, samada memilih Option 3 atau Option 4. Masa semakin suntuk. Tidak kelihatan seperti pihak MBI akan berbuat demikian.

Keputusannya sungguh mengejutkan. Daripada 197 penjaja berdaftar, 161 memilih Option 4. Cuma 15 penjaja memilih Option 3. Manakala 21 penjaja lagi samada tidak dapat dikesan ataupun berkecuali.

161 daripada 176 yang membuat pilihan adalah lebih kurang 91.5%. Wow!

Saya telah pergi ke MBI bagi menyerahkan hasil kutipan suara tersebut kepada wakil Datuk Bandar, Encik Zulkarnain.

Semoga suara-suara kecil berjiwa besar ini diberi perhatian oleh pihak berwajib.

Beri penerangan


Semak


Tandatangan


Gelak ketawa


Salah seorang penjaja pasar Gunung Rapat

Wednesday, May 19, 2010

Option 3 atau Option 4 - Ditelan mati Emak, diluah mati Bapak


Option 3

Masalah penjaja dengan Option 3 ini adalah :

i) tempat letak kereta bawah tanah. Tempat letak kereta bawah tanah ini menyebabkan pasar jadi bertingkat. Pelanggan dari kaki lima perlu menapak 8 anak tangga untuk sampai ke level pasar. Pelanggan dari basement car park tentu lebih lagi.

ii) penjaja luar pasar. Penjaja luar pasar perlu di bawa masuk ke dalam dan di tempatkan di belakang. Atau sekurang-kurangnya menghadkan jenis barang jualan agar tidak serupa dengan penjaja di dalam. Penjaja khuatir dengan keadaan pasar yang bertingkat, pelanggan akan membeli barang di luar sahaja.

Rupanya ada penjaja termakan dengan cakap seorang Ahli Majlis MBI yang berjanji untuk mengubah pelan Option 3 ini kepada yang dikehendaki penjaja - tanpa parkir bawah tanah dan tanpa penjaja di luar.

Ramai yang tak percaya. Seorang uncle separuh umur berkata, " Lu percaya ka? Dia janji saja..... Dia mana ada kuasa! "

Saya tegaskan kepada penjaja, masa semakin suntuk. Pelan yang ada pada saya cuma Option 3, seperti yang di atas. Tiada lain.

Maka penjaja perlu buat keputusan atas apa yang ada di tangan mereka.


Tempat Perbincangan - Pasar Gunung Rapat. Masa - selepas jam 3 petang


Option 4

Datuk Bandar telah menyatakan, beliau akan pergi kepada 'Option 4' sekiranya penjaja semua enggan berpindah. MBI tetap akan membina pasar baru di lokasi yang lain, tidak semestinya jauh, berkemungkinan juga berhampiran dengan pasar sedia ada.

Dan beliau akan mengisi pasar baru dengan penjaja baru.

Ada penjaja bertanya kepada saya samada Option 4 ini helah Datuk Bandar untuk menakutkan penjaja.

Jawapan saya, berkemungkinan. Tetapi info yang saya dapat, pihak MBI telah bermesyuarat ( sekali lagi saya gagal dimaklumkan )tentang Option 4 ini. Ada kemungkinan mereka serius.

Dan dikhabarkan, cadangan tapak pasar Option 4 ini samada di belakang Old Town Kopitiam, Jalan Raja Musa Mahadi (berdekatan Esso Ampang) atau di tapak rezab tanah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Maka penjaja perlu memilih.

Ianya satu pilihan yang sukar.

Saturday, May 1, 2010

Dialog 2 hala - MBI dan Penjaja



Berbondong-bondong penjaja turun. Mungkin hampir semua. Cuma saya tidak nampak kelibat kakak peniaga ayam yang masih dalam edah lantaran kematian suaminya Allahyarham Zakaria beberapa minggu yang lalu.

Polis dan SB pun ramai juga.

Sehari sebelumnya berlegar-legar sms daripada seseorang yang mendakwa dirinya Ahli Majlis MBI.

Berikut keratan sms daripada pengirim :

"Asslmkm! Ybhg Dato'/Datin/Tuan/Puan/Sdra/Sdri dijemput hadir beramai2 ke Majlis Pelancaran Membina Pasar Baru Gunung Rapat pada 30.2.2010 Jumaat @ 3.00 petang di DOR Gunong Rapat (berhampiran SRJK Cina Gunong Rapat) Kehadiran sangat diperlukan untuk menyokong k'jaan bagi membina pasar baru ini unutk kepentingan Pengguna dan semua Pihak. Dipohon supaya dapat panjangkan jemputan ini kepada AJK JKKK...."

Dan sms ini sampai ke tangan para penjaja.

" Habislah korang, dah kena tipu..." kata seorang pengguna kepada penjaja.

Ini menyebabkan mood penjaja cukup terjejas. Lantaran itu wakil-wakil MBI dan Datuk Bandar teruk di "boo..." mereka.

Pihak MBI cuba sedaya upaya menyampaikan taklimat dalam suasana hiruk pikuk. Saya kagum dngan semangat dan keazaman pegawai-pegawai MBI berdepan dengan para penjaja.

Tiba giliran Datuk Bandar, Dato' Roshidi Haji Hashim. Beliau juga tidak terlepas daripada di boo... oleh penjaja.

Beliau menyatakan sebab kenapa pasar Gunung Rapat mendahului pasar-pasar lain dalam pembangunan pasar ini.

Sebab utamanya kerana kawasan sekitar Gunung Rapat telah tersergam bangunan seperti Mc Donald's, KFC, Kopitiam, Silveritage dan bakal muncul Burger King.

Pasar Gunung Rapat terletak dalam kawasan 'pintu masuk' ke Bandaraya Ipoh.

Dipenghujung ucapan beliau, Datuk Bandar begitu emosional, nada suara menjadi sebak, seakan menangis. Petugas media bekejar ke arah beliau.

Malangnya nada suara sebak beliau tidak mampu melunakkan hati para penjaja.

Penjaja ini golongan marhean. Biasa hidup susah dan berhadapan dengan pelbagai rintangan. Jiwa mereka kental.

Saya faham mereka kerana saya berasal dari latar belakang keluarga yang pernah menempuh kesusahan hidup.

2 orang penjaja menyatakan pendapat mereka sebelum Sdr Mat Razali membuat pembentangan panjang lebar bagi pihak penjaja.


Haji Mat Razali


Keadaan daif stor MBI di pasar Gunung Rapat menarik perhatian



Haji Mat mendapat sokongan padu kawan-kawan niaganya


Beliau juga membukukan laporannya dan memberikan naskah-naskah tersebut kepada pengamal media.


Senaskah diberikan kepada Datuk Bandar


Haji Mat Razali menutup bicara beliau dengan memohon belas ehsan pihak berkuasa supaya ambil kira tentang mata pencarian mereka, keluarga mereka dan anak-anak mereka yang diharap tidak mewarisi pekerjaan mereka.

Haji Mat Razali 41 tahun, sebenarnya pelajar pintar yang memperolehi pangkat 1 dalam SPM dan ditawarkan pengajian bidang kejuruteraan. Telah tertulis, bapa beliau yang merupakan peniaga di pasar tersebut terbabit dalam kemalangan jalanraya yang akhirnya membawa maut.

Haji Mat Razali aka Mat Bawang, mewarisi pekerjaan Allahyarham Ayahanda beliau.




YB Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Gopeng bangun menyatakan pendapat :

- Yakin perniagaan akan terjejas akibat perpindahan

- Faham perasaan penjaja yang selesa dengan keadaan sekarang

- Pertimbangkan alternatif lain seperti kerja-kerja naik taraf kepada pasar sedia ada bagi keselesaan pengguna

- Tangguhkan keputusan selama 3 bulan supaya pihak penjaja dapat mengkaji Option 3

Datuk Bandar setuju menangguhkan sebarang keputusan selama 1 bulan.



Dr Lee Boon Chye


Saya sebagai wakil rakyat turut menyatakan pendapat.

- Secara dasarnya penjaja tidak menolak pembangunan tetapi ianya tidak semesti dengan meroboh dan membina semula

- Baru sedar kewujudan Option 3

- Pertama kali dengar alasan membangunkan pasar Gunung Rapat kerana ianya termasuk dalam kawasan 'pintu masuk' Bandaraya Ipoh

- Setiap perbincangan berkaitan, cuba libatkan seramai mungkin

- Jangan bangkitkan polemik 'mempolitikkan isu'

Datuk Bandar mempamerkan sikap yang agak mengejutkan. Beberapa kali beliau "STOP!" kan saya sewaktu saya sedang bercakap. Katanya jangan bangkitkan perkara lepas.

Sukalah saya ingatkan di sini, sekiranya 'perkara lepas' ditangani dengan baik, tidak akan ada 'perkara hari ini'.

Saya wakil rakyat yang sah, dianggap 'campur tangan politik'.

Lawan saya, mantan ADUN Simpang Pulai, Sdr Alex Chan hadir disetiap mesyuarat bersama MBI, atas tiket apa? Bukankah orang politik?


Alex Chan, berbaju putih. Saya harap beliau akan suarakan pendapatnya. Ternyata tidak.



Tuan Haji Rahim, berbaju kotak-kotak

Sampai giliran Tuan Haji Rahim. Beliau merupakan Yang DiPertua PAS Gopeng, juga pengguna pasar Gunung Rapat.

Antara perkara yang diutarakan :

- Bagaimanakah dengan membina pasar baru dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas?

- Kenapa perlu belanjakan RM6 juta tax payer's money (rakyat) sekiranya stake holders (penjaja) cuma perlukan penambah baikan?

- Meruntuhkan sesuatu yang tidak perlu diruntuhkan adalah satu pembaziran, dan ditegah Islam.



Pada penghujung sesi, Datuk Bandar menyebut tentang Option4 - iaitu akan mencari penjaja baru sekiranya penjaja sedia ada enggan berpindah.

Saya sangka saya salah dengar tetapi beliau telah menyebutnya sebanyak 2 kali.

Ke mana pergi nada sebak tangisan beliau tadi, dan ungkapan kononnya sayangkan penjaja?

Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar

Tuan Datuk Bandar,
meski kami tidak pernah mengangkat tuan sebagai datuk kami
kerana perbezaan fahaman taraf 'Datuk' dan 'Cucu'
kerana kelainan pendapat antara rambut dan bulu,
(tuan-tuan telah mempermaniskan gelaran
menyebutkan rambut pada diri tuan-tuan, sedangkan
untuk kami tuan namakan perkataan 'bulu')
kami tetap menghormati tuan yang pernah menjanjikan untuk
MENGHIJAUKAN SELURUH WILAYAH


Allahyarham Usman Awang
1979

Thursday, April 15, 2010

Penangan Penjaja Pasar - 15 April 2010

MBI melakar sejarah. Gara-gara penangan para penjaja.


Kami datang untuk bertemu Datuk Bandar. Segala dolak dalihnya tidak dapat diterima lagi. Mengikut jadual, beliau ada sesi taklimat bersama pegawai-pegawai MBI mengenai pasar Gunung Rapat pada jam 2.30 petang di bilik mesyuarat dalam bangunan MBI.

Maka, kami ambil kesempatan ini untuk :

1) menyuarakan isi hati penjaja tentang isu roboh/bina pasar

2) mendapatkan jaminan daripada Datuk Bandar yang tiada sebarang keputusan/kerja bersangkutan cadangan roboh/bina pasar akan diambil/dibuat, selagi mana Datuk Bandar tidak berbincang dengan para penjaja.

Penjaja memenuhi ruang legar MBI. Anggaran 76 orang penjaja yang hadir. Mereka menutup bisnes awal dan bersemangat tinggi.

Ada yang kata penjaja ini 'ordinary folks' yang tak boleh nampak 'the bigger picture'. Saya nak nyatakan di sini, para penjaja pasar Gunug Rapat bukan 'ordinary folks'.

Mereka bekerja keras tanpa mendapat sebarang keistimewaan. Mereka pembayar cukai dan memperbaharui lesen jajaan. Mereka berani membuat keputusan dan berani berdepan risiko.

Mereka berani dalam menentukan masa depan diri dan keluarga.

Disambut oleh ramai pengawal MBI


Kehadiran pengawal MBI yang ramai dan polis berbaju biasa tidak menakutkan mereka. Penjaja wanita pasar releks sahaja.


Sempat berjenaka dengan para penjaja sementara menunggu 'keberangkatan tiba' Datuk Bandar Ipoh


Penjaja bersemangat tinggi


Rupanya Datuk Bandar tidak dapat dipastikan pukul berapa akan balik ke pejabat, ataupun akan balik atau tidak. Taklimat beliau bersama para pegawainya yang dijadualkan pada jam 2.30 petang pun telah dibatalkan.

Inilah penangan penjaja pasar Gunung Rapat.

Cuma Setiausaha MBI bergegas datang dari SUK untuk menangani 'situasi' di ruang legar bangunan MBI. Saya mengasak Datuk Rahim agar berjanji di hadapan para penjaja bahawa tidak akan ada apa-apa proses kerja dalam rancangan roboh/bina pasar baru Gunung Rapat, sebelum Datuk Bandar bertemu para penjaja pada 30hb akan datang.

Datuk Rahim cuma mengatakan "Status quo."

2 dari kiri,Setiausaha MBI, Datuk Rahim (berbaju batik)


Memberi penerangan kepada para penjaja tentang apa yang dimaksudkan oleh Setiausaha MBI, Datuk Rahim. Mood penjaja agak tegang.


Para penjaja kecewa kerana Datuk Bandar tidak menunjukkan mukanya dan tidak yakin dengan jaminan mulut Datuk Rahim yang bagai teragak-agak itu.

Ada yang meminta jaminan bertulis. Ramai yang mula melaungkan "Kami tak mahu pasar baru!"


Dr Lee menenangkan seorang penjaja muda yang jelas kecewa kerana tidak dapat bertemu Datuk Bandar


Walaupun kurang berpuas hati kerana tidak dapat berjumpa sendiri dengan Datuk Bandar, manakala jaminan secara lisan oleh Setiausaha MBI Datuk Rahim yang cuma mengatakan semuanya adalah 'status quo', iaitu tiada sebarang perubahan sementara menunggu sesi bertemu Datuk Bandar pada 30hb ini, para penjaja masih dapat mengawal emosi.

Tahniah!


Bergambar beramai-ramai


Dr Lee Boon Chye dalam sesi sidang media


Terima kasih kepada rakan media

14 April 2010 - Tindakan seterusnya...?

Pagi ini saya berpeluang bercakap dengan Datuk Bandar melalui telefon. Pada dasarnya beliau bersetuju bertemu dengan penjaja pada 30hb April. Tetapi pada masa yang sama tidak dapat memberi jaminan projek bina/roboh pasar Gunung Rapat tidak akan ada apa-apa perkembangan terbaru sehingga Datuk Bandar bertemu dan berbincang dengan para penjaja pada 30 hb akan datang.

Saya turun berbincang dengan para penjaja tentang tindakan seterusnya. Nyatalah para penjaja tidak dapat menunggu sehingga 30hb sedang tiada apa-apa jaminan daripada pihak berkuasa.

'Update' perkembangan terbaru kepada penjaja pasar.




Angkat tangan tanda bersetuju ke MBI beramai-ramai

Saturday, April 10, 2010

10 April 2010 - Jabatan Penerangan turun ke Pasar


Encik Mohd Akhir, berbaju coklat

Agak mengejutkan kerana pihak kami dan penjaja menyangka pegawai MBI yang akan turun bertemu penjaja, sebaliknya Encik Mohd Akhir daripada Jabatan Penerangan Negeri Perak yang turun bertemu dan bertanya secara terus kepada para penjaja.

Menurut Encik Mohd Akhir, beliau menghimpun maklumat untuk disalurkan kepada pihak MBI. Rupanya ada prosedur sebegini..?

Friday, April 9, 2010

Isu Pasar Gunung Rapat - Reaksi Balas Datuk Bandar


Datuk Bandar Ipoh, Dato' Roshidi Haji Hashim

9 April 2010- Reaksi balas Datuk Bandaraya Ipoh, Dato' Roshidi Bin Haji Hashim terhadap 'mini demo pasar Gunung Rapat' semalam, tersiar di dada-dada akhbar harian, hari ini. Atas semangat 'perbincangan', maka saya siarkan di sini kenyataan beliau menurut laporan akhbar Sinar Harian Perak, tanpa edit.

Sesi dialog di tapak sementara : Roshidi

KAMPUNG SIMEE - Pembangunan di Pasar Gunung Rapat akan tetap diteruskan sebagaimana yang telah dirancang, kata Datuk Bandar, Dato' Roshidi Hashim ketika menjawab soalan wartawan berhubungan segelintir golongan peniaga di Pasar Gunung Rapat yang memprotes pembangunan di pasar berkenaan selain turut menggesa satu sesi dialog antara pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan peniaga dianjurkan.

Menurutnya, sesi dialog berkenaan bakal dianjurkan kelak, namun segala gesaan yang dibuat dilihat bagaikan menimbulkan masalah baru sedangkan majlis dialog tersebut bertujuan menyelesaikan masalah.

"Sebenarnya wujud 2 permasalahan iaitu, masalah pembangunan serta masalah penempatan sementara pasar berkenaan.

"Justeru, pihak kejuruteraan MBI sedang menkaji kesesuaian kawasan-kawasan berhampiran bagi didirikan tapak pasar sementara demi kemudahan orang ramai," katanya.

Roshidi berkata demikian sempena lawatan ke Pusat Khidmat Ahli Majlis, Majlis Banadaraya Ipoh di Pusat Khidmat Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Canning di sini, semalam.

Beliau berkata MBI akan tetap mengadakan majlis dialog bersama golongan peniaga setelah kawasan yang sesuai bagi penempatan pasar sementara dikenal pasti.

Bgaimanapun katanya, tarikh sesi dialog berkenaan belum ditentukan dan bakal diumumkan kelak.

Sementara itu, Roshidi berkata, isu pembangunan pasar di sini bukanlah satu isu politik, sebaliknya ianya adalah proses pembangunan yang perlu dilakukan demi kepentingan rakyat.

Katanya, sejumlah RM5 hingga RM6 juta bakal diperuntukkan kepada proses-proses pembangunan serta penambah baikan pasar di sekitar bandar raya.

"Saya berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dan kewujudan pasar baru di Gunung Rapat bakal menyerikan kawasan berkenaan seiring pembangunan di kawasan sekitar," katanya.

Sinar Harian - 9 April 2010