Monday, December 14, 2009


Banjir kilat perlukan perhatian serius

SIMPANG PULAI -Masalah banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sini, mendapat perhatian serius daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Ming Kai ketika ditemui berkata, musim tengkujuh yang melanda negara, mengakibatkan kawasan seperti Taman Chandan Desa, Kampung Sengat, Kampung Baru Simpang Pulai dan Ampang, berisiko tinggi untuk dinaiki air.

"Tinjauan saya ke kawasan tersebut mendapati, limpahan air terjadi disebabkan sistem perparitan yang tidak lancar.

"Maka apabila hujan lebat, air yang masuk ke longkang besar bergerak perlahan dan ini menyebabkan takungan dan natijahnya, berlakulah banjir," katanya.

Menurutnya, antara punca banjir di situ adalah disebabkan longkang tersumbat akibat pembuangan sampah, dinding longkang runtuh dan menyempitkan saluran longkang.

Selain itu, struktur binaan longkang yang lebih tinggi daripada jalan mengakibatkan air tidak dapat mengalir ke longkang dan binaan longkang bawah tanah yang menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan.

"Saya juga meminta orang ramai agar mendapatkan kelulusan pihak Majlis Bandaraya sebelum melakukan sebarang kerja pengubahsuaian rumah atau kawasan rumah.

"Kadangkala kesilapan kita sendiri boleh menyebabkan terjadinya banjir yang terpaksa ditanggung bukan sahaja oleh kita, malah jiran sekeliling," katanya.

Ming Kai juga mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan sentiasa mengawasi anak kecil mereka tatkala musim tengkujuh begini.

Katanya, banjir bukan sahaja boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda, malah penularan penyakit berjangkit.


Artikel daripada Sinar Harian

Monday, November 23, 2009

Dah potong?


Iklan di tv yang memaparkan ungkapan "Dah potong?" serta "Potong! Potong! Potong!" mendapat reaksi pelbagai. Ada yang menganggapnya lucu, dan ada pula yang mengaggapnya lucah.

Ironinya, dalam kehidupan seharian, saya selalu juga disindir dengan ungkapan tersebut.

Kenapa?

Berada dalam Parti KEADILAN Rakyat dan bersama dalam perjuangan Pakatan Rakyat menyebabkan terjalinnya hubungan rapat sesama ahli. Dalam masa berkempen, bekerja, turun padang serta menjalankan program, seminar atau kursus, kami berpeluang bergaul dengan lebih mesra.

Kerana itu saya tidak dapat lari dari belajar mengenai budaya dan anutan kaum lain, terutamanya orang Melayu yang beragama Islam, yang merupakan kaum majoriti dalam Malaysia.

Belajar menghormati waktu solat, peka terhadap makanan yang halal atau haram, tidak dengan sengaja makan dan minum di hadapan mereka yang sedang berpuasa, ini saya lakukan.

Apatah lagi semenjak bergelar wakil rakyat DUN Simpang Pulai. Saya mewakili semua yang tinggal bermastautin dalam Simpang Pulai. Selain daripada Cina, ada Melayu, India dan Orang Asli.

Selagi mungkin, saya cuba melibatkan diri dengan masyarakat walaupun dalam aktiviti keagamaan, asalkan keterlibatan saya diterima. Saya menghadiri kenduri-kendara, jamuan rumah terbuka, majlis berbuka puasa serta upacara pengkebumian. Malah, pernah juga saya menghadiri kenduri akikah bayi yang baru lahir. Saya jamah semua makanan yang tersedia kecuali daging kambing akikah tersebut.

Bagaimana saya tahu yang saya tak sepatutnya menyentuh daging kambing tersebut? Kerana saya ambil tahu. Kenapa saya ambil tahu? Kerana saya menghormati fahaman agama lain.

Ada ketikanya saya berbaju Melayu dan bersongkok. Bukan setakat nak ambil hati, tetapi yang lebih pentingnya untuk mewujudkan rasa mesra.

Bukan saya seorang yang diserbu dengan pertanyaan dan sindiran sebegini. Rakan-rakan lain dalam KEADILAN juga.

Sewaktu berkempen bersama ahli-ahli PAS, kawan saya berbangsa Cina dan bukan Muslim disorak oleh Puteri-puteri UMNO - " Dah potong ke? Dah potong ke?!!!"

Merah telinga kawan saya kerana merasa malu dengan pertanyaan yang keluar daripada mulut gadis-gadis muda tersebut.

Tetapi Puteri-puteri itu merasakan ungkapan itu sungguh lucu lalu mereka pun ketawa berdekah-dekah.

Thursday, November 5, 2009

KEADILAN Untuk Semua - Pembelaan Buat Dr Asri

Berita penangkapan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mengejutkan banyak pihak. Umat Islam di Malaysia khususnya, seakan tergamam dan kebingungan bagaimana seorang bekas mufti yang mempunyai PHD dalam pengajian agama Islam dikatakan tidak 'bertauliah' mengajar agama.

Penangkapan tokoh agama yang terkenal itu mendapat perhatian ramai termasuk daripada kalangan bukan Islam.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Sdr Chan Ming Kai, tangkapan ke atas Dr Asri itu adalah satu lagi episod malang negara yag sepatutnya mengamalkan prinsip demokrasi.

' Saya kesal dengan cara beliau ditangkap dengan melibatkan bilangan polis yang ramai dan mengepung rumah tempat beliau menyampaikan ilmu agama, seolah-olah Dr Asri ini penjenayah berbahaya," kata Sdr Chan.

" Tetapi kita dapati sehingga ke hari ini, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) gagal memfailkan sebarang pertuduhan ke atas beliau. Ini jelas, adalah satu 'character assassination' bertujuan merosakkan reputasi Dr Asri."

Sdr Chan yang juga merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Perak menegaskan, PKR berjuang atas prinsip keadilan sejagat.

Maksud keadilan itu sendiri menurut Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

" Oleh itu saya membantah dengan sekeras-kerasnya penahanan Dr Asri ini yang jelas melanggar peradaban negara demokrasi. Saya juga berharap kejadian serupa tidak berulang,"

" Negara kita mempunyai undang-undang tetapi selagi mana tiada pemisahan kuasa dengan undang-undang ( separation of powers ), selagi itu pihak tertentu dapat memanipulasikannya'.

- keratan kenyatan di akhbar harian Sinar

Tuesday, November 3, 2009

Kuala Dipang - Tragedi 1Malaysia




Tanggal 26 Oktober 2009, tiga pasangan ibu bapa kehilangan anak yang mereka kasihi buat selama-lamanya.

Rakyat Malaysia secara umumnya maklum akan tragedi yang menimpa. Jambatan gantung yang baru siap dibina kira-kira 2 minggu sebelumnya, tercabut tiangnya lalu runtuh mengakibatkan sekumpulan kanak-kanak yang menyeberanginya tercampak ke dalam sungai. Dan amat malang apabila 3 di antaranya hanyut dibawa arus.

Dina Devi 11, Divyashree 12 dan Devatharshini 11 menjadi mangsa akibat kerakusan manusia.

Yang dipersoalkan tentang kurangnya langkah-langkah keselamatn yang diambil atau tidak diambil, bagi menjaga kanak-kanak.

Kanak-kanak dan awal remaja tidak dapat diharapkan untuk menjaga diri sendiri. Sebab itu perlu cukup orang dewasa untuk mengawasi mereka dalam aktiviti perkemahan begini.

Secara peribadi, saya berpendapat pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah tidak harus mengadakan sebarang aktiviti berdekatan dengan kawasan sungai, laut dan hutan. Ancaman bahaya itu cukup nyata. Guru-guru walau seberapa ramai, tidak akan dapat mengawasi mereka sentiasa. Maka risikonya patut di minimumkan serendah mungkin.

Tetapi, persoalan yang lebih besar ialah, siapakan kontraktor yang dipertanggung jawabkan bagi membina jambatan yang runtuh cuma setelah kira-kira 10 hari siap dibina.

Siapa nak jawab ni????

Friday, October 16, 2009

Happy Deepavali - 17 Oktober 2009



Selamat menyambut Deepavali saya ucapkan kepada semua penganut agama Hindu. Semoga perayaan 'cahaya' - kebaikan mengatasi kejahatan, membawa kemenangan dalam kehidupan seharian kita.

Tradisi yang baik seperti saling memberi ucapan selamat, kunjung mengunjungi patut dikekalkan bagi memelihara kemesraan yang sedia terjalin.

Persaudaraan sesama insan merentasi batas warna kulit dan fahaman. Semoga setiap langkah kita adalah langkah kehadapan, demi mencapai kecemerlangan.

Raikan Perayaan, pupuk semangat Perpaduan - 4 Okt 2009




Saya telah berpeluang menghadiri upacara sambutan ulang tahun ke 56 Kuil Sri Muneeswarar yang terletak di Simpang Pulai.

Perayaan tersebut yang diadakan saban tahun adalah bagi mengumpulkan masyarakat sekitar bagi memupuk semangat kejiranan disamping mengadakan upacara keagamaan dan persembahan kebudayaan masyarakat India.

Ianya merupakan kali kedua saya dijemput mengahdiri upacara sambutan ulang tahun kuil tersebut. Pada tahun lalu, saya hadir sebagai wakil rakyat kerajaan. Kini, sungguhpun tidak lagi bergelar ADUN kerajaan, saya masih dijemput. Saya amat terharu dan berterima kasih atas ingatan dan sokongan masyarakat India di kawasan ini, khususnya yang beragama Hindu.

Seperti tahun lalu, saya diraikan dengan lilitan kain dikepala, dikalungkan dengan malai dan dujamu dengan hidangan makan tengahari.

Ahli jawatankuasa kuil tersebut juga menjemput kawan-kawan yang berbangsa Cina yang turut sama mengahdirinya dan menikmati jamuan makan tengahari.

Sikap prihatin dan terbuka jawatankuasa kuil tersebut cukup baik bagi mengeratkan hubungan antara kaum.

Pesta Tanglung - 3 Oct 2009


Pesta Tanglung telah disambut secara sederhana tetapi meriah, di DUN saya dalam kawasan Gunung Rapat.

Kami membawa tanglung yang berwarna warni berjalan kaki sekitar kawasan sambil melambaikan tangan kepada penduduk.

Penyertaan daripada masyarakat setempat amat menggalakkan. Ada dikalangan mereka yang bermurah hati menderma tanglung dan kuih bulan.

Maklumlah, kini saya tidak lagi mempunyai peruntukan!