Wednesday, December 30, 2009

Peristiwa bergambar sepanjang 2009

JAN - Laporan lengkap pemilihan ketua kampung baru Gunung Rapat. Malangnya calon yang menang tidak sempat memikul tanggung jawab tersebut secara sah



FEB - Disekat daripada memasuki bangunan SUK Perak




MAC - Melancarkan tabung pembinaan semula Plak Demokrasi



APRIL - Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang - DS Nizar Jamaluddin



MEI - Ditahan ekoran mogok lapar

photo courtesy of Chang Lih Kang

JUN - Jelajah kawasan Simpang Pulai



JULAI
Borang dermasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke IPTA & IPTS hasil idea kerajaan PR Perak. Tak perlu tandatangan sesiapa selain daripada pemohon


Borang baru kerajaan BN Perak. Note : Perlu tandatangan ADUN (read : ADUN BN)



OGOS - Himpunan anti ISA di KL



SEPT - Kaunter-kaunter Pendaftaran Pengundi sekitar Simpang Pulai - kerjasama dengan SPR



OKT - Deepavali greetings at Sengat Estate



NOV - Mengusahakan kemasukan bekalan elektrik ke perkampungan Orang Asli



DEC - Bekerjasama dengan pihak berwajib dalam mengekang permasalahan banjir

Monday, December 28, 2009

Aktiviti Sepanjang Disember

Kaunter pendaftaran Pengundi dengan kerjasama SPR


Setelah berpenat lelah, dapat makan cendol paling best!


Mengedarkan risalah dan kalender 2010 sambil bertegur sapa dengan penduduk.


Nampaknya, bulan Disember yang paling mundur. Baru ada 1 entry sahaja.

Bukanlah saya pergi bercuti. Nampaknya tak ada istilah bercuti buat saya. Jadual harian yang ketat ditambah dengan siri-siri ceramah, bukan setakat dalam Perak malah hingga ke Kelantan!

Wakil-wakil rakyat PR Perak memang amat 'laku' di pentas ceramah di luar Perak. Ini kerana mereka yang di luar Perak ingin mendengar sendiri tentang perkembangan kerajaan, politik dan rakyat Perak.

Untuk kawasan DUN saya, Simpang Pulai, saya giat mengedarkan risalah tentang isu semasa dan tentang pusat khidmat masyarakat dalam Parlimen Gopeng beserta nombor telefon yang boleh dihubungi bila adanya keperluan.

Kami berjalan dari rumah ke rumah, mengucapkan salam. Seolah-olah sedang berkempen.

Wakil rakyat PR tak dapat media coverage. Kalau ada pun, biasanya atas hal yang negatif.

Saya mahu bertemu dengan seramai mungkin penduduk DUN Simpang Pulai, dan mereka pula dapatlah melihat wajah saya secara dekat.

Selain itu, kami giat menganjurkan kaunter pendaftaran pengundi dengan kerjasama SPR.

Ya, memang. Begitu banyaknya sungutan dan aduan tentang kepincangan SPR. Tetapi ingin saya nyatakan di sini, SPR Perak amat mudah untuk bekerjasama dan saya amat menghargainya.

Juga, musim-musim kenduri begini. Banyak juga undangan yang saya terima.

Sempena berakhirnya tahun 2009 yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi, saya ucapkan kepada semua agar berterima kasih atas segala suka duka yang dialami sepanjang tahun.

Keseronokan adalah nikmat hidup. Tetapi kedukaan dan kesakitan adalah perkara yang menjadikan kita matang, tabah dan lebih berbelas kasihan. Mudah-mudahan.

Monday, December 14, 2009


Banjir kilat perlukan perhatian serius

SIMPANG PULAI -Masalah banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sini, mendapat perhatian serius daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Ming Kai ketika ditemui berkata, musim tengkujuh yang melanda negara, mengakibatkan kawasan seperti Taman Chandan Desa, Kampung Sengat, Kampung Baru Simpang Pulai dan Ampang, berisiko tinggi untuk dinaiki air.

"Tinjauan saya ke kawasan tersebut mendapati, limpahan air terjadi disebabkan sistem perparitan yang tidak lancar.

"Maka apabila hujan lebat, air yang masuk ke longkang besar bergerak perlahan dan ini menyebabkan takungan dan natijahnya, berlakulah banjir," katanya.

Menurutnya, antara punca banjir di situ adalah disebabkan longkang tersumbat akibat pembuangan sampah, dinding longkang runtuh dan menyempitkan saluran longkang.

Selain itu, struktur binaan longkang yang lebih tinggi daripada jalan mengakibatkan air tidak dapat mengalir ke longkang dan binaan longkang bawah tanah yang menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan.

"Saya juga meminta orang ramai agar mendapatkan kelulusan pihak Majlis Bandaraya sebelum melakukan sebarang kerja pengubahsuaian rumah atau kawasan rumah.

"Kadangkala kesilapan kita sendiri boleh menyebabkan terjadinya banjir yang terpaksa ditanggung bukan sahaja oleh kita, malah jiran sekeliling," katanya.

Ming Kai juga mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan sentiasa mengawasi anak kecil mereka tatkala musim tengkujuh begini.

Katanya, banjir bukan sahaja boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda, malah penularan penyakit berjangkit.


Artikel daripada Sinar Harian

Monday, November 23, 2009

Dah potong?


Iklan di tv yang memaparkan ungkapan "Dah potong?" serta "Potong! Potong! Potong!" mendapat reaksi pelbagai. Ada yang menganggapnya lucu, dan ada pula yang mengaggapnya lucah.

Ironinya, dalam kehidupan seharian, saya selalu juga disindir dengan ungkapan tersebut.

Kenapa?

Berada dalam Parti KEADILAN Rakyat dan bersama dalam perjuangan Pakatan Rakyat menyebabkan terjalinnya hubungan rapat sesama ahli. Dalam masa berkempen, bekerja, turun padang serta menjalankan program, seminar atau kursus, kami berpeluang bergaul dengan lebih mesra.

Kerana itu saya tidak dapat lari dari belajar mengenai budaya dan anutan kaum lain, terutamanya orang Melayu yang beragama Islam, yang merupakan kaum majoriti dalam Malaysia.

Belajar menghormati waktu solat, peka terhadap makanan yang halal atau haram, tidak dengan sengaja makan dan minum di hadapan mereka yang sedang berpuasa, ini saya lakukan.

Apatah lagi semenjak bergelar wakil rakyat DUN Simpang Pulai. Saya mewakili semua yang tinggal bermastautin dalam Simpang Pulai. Selain daripada Cina, ada Melayu, India dan Orang Asli.

Selagi mungkin, saya cuba melibatkan diri dengan masyarakat walaupun dalam aktiviti keagamaan, asalkan keterlibatan saya diterima. Saya menghadiri kenduri-kendara, jamuan rumah terbuka, majlis berbuka puasa serta upacara pengkebumian. Malah, pernah juga saya menghadiri kenduri akikah bayi yang baru lahir. Saya jamah semua makanan yang tersedia kecuali daging kambing akikah tersebut.

Bagaimana saya tahu yang saya tak sepatutnya menyentuh daging kambing tersebut? Kerana saya ambil tahu. Kenapa saya ambil tahu? Kerana saya menghormati fahaman agama lain.

Ada ketikanya saya berbaju Melayu dan bersongkok. Bukan setakat nak ambil hati, tetapi yang lebih pentingnya untuk mewujudkan rasa mesra.

Bukan saya seorang yang diserbu dengan pertanyaan dan sindiran sebegini. Rakan-rakan lain dalam KEADILAN juga.

Sewaktu berkempen bersama ahli-ahli PAS, kawan saya berbangsa Cina dan bukan Muslim disorak oleh Puteri-puteri UMNO - " Dah potong ke? Dah potong ke?!!!"

Merah telinga kawan saya kerana merasa malu dengan pertanyaan yang keluar daripada mulut gadis-gadis muda tersebut.

Tetapi Puteri-puteri itu merasakan ungkapan itu sungguh lucu lalu mereka pun ketawa berdekah-dekah.

Thursday, November 5, 2009

KEADILAN Untuk Semua - Pembelaan Buat Dr Asri

Berita penangkapan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mengejutkan banyak pihak. Umat Islam di Malaysia khususnya, seakan tergamam dan kebingungan bagaimana seorang bekas mufti yang mempunyai PHD dalam pengajian agama Islam dikatakan tidak 'bertauliah' mengajar agama.

Penangkapan tokoh agama yang terkenal itu mendapat perhatian ramai termasuk daripada kalangan bukan Islam.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Sdr Chan Ming Kai, tangkapan ke atas Dr Asri itu adalah satu lagi episod malang negara yag sepatutnya mengamalkan prinsip demokrasi.

' Saya kesal dengan cara beliau ditangkap dengan melibatkan bilangan polis yang ramai dan mengepung rumah tempat beliau menyampaikan ilmu agama, seolah-olah Dr Asri ini penjenayah berbahaya," kata Sdr Chan.

" Tetapi kita dapati sehingga ke hari ini, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) gagal memfailkan sebarang pertuduhan ke atas beliau. Ini jelas, adalah satu 'character assassination' bertujuan merosakkan reputasi Dr Asri."

Sdr Chan yang juga merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Perak menegaskan, PKR berjuang atas prinsip keadilan sejagat.

Maksud keadilan itu sendiri menurut Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

" Oleh itu saya membantah dengan sekeras-kerasnya penahanan Dr Asri ini yang jelas melanggar peradaban negara demokrasi. Saya juga berharap kejadian serupa tidak berulang,"

" Negara kita mempunyai undang-undang tetapi selagi mana tiada pemisahan kuasa dengan undang-undang ( separation of powers ), selagi itu pihak tertentu dapat memanipulasikannya'.

- keratan kenyatan di akhbar harian Sinar

Tuesday, November 3, 2009

Kuala Dipang - Tragedi 1Malaysia




Tanggal 26 Oktober 2009, tiga pasangan ibu bapa kehilangan anak yang mereka kasihi buat selama-lamanya.

Rakyat Malaysia secara umumnya maklum akan tragedi yang menimpa. Jambatan gantung yang baru siap dibina kira-kira 2 minggu sebelumnya, tercabut tiangnya lalu runtuh mengakibatkan sekumpulan kanak-kanak yang menyeberanginya tercampak ke dalam sungai. Dan amat malang apabila 3 di antaranya hanyut dibawa arus.

Dina Devi 11, Divyashree 12 dan Devatharshini 11 menjadi mangsa akibat kerakusan manusia.

Yang dipersoalkan tentang kurangnya langkah-langkah keselamatn yang diambil atau tidak diambil, bagi menjaga kanak-kanak.

Kanak-kanak dan awal remaja tidak dapat diharapkan untuk menjaga diri sendiri. Sebab itu perlu cukup orang dewasa untuk mengawasi mereka dalam aktiviti perkemahan begini.

Secara peribadi, saya berpendapat pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah tidak harus mengadakan sebarang aktiviti berdekatan dengan kawasan sungai, laut dan hutan. Ancaman bahaya itu cukup nyata. Guru-guru walau seberapa ramai, tidak akan dapat mengawasi mereka sentiasa. Maka risikonya patut di minimumkan serendah mungkin.

Tetapi, persoalan yang lebih besar ialah, siapakan kontraktor yang dipertanggung jawabkan bagi membina jambatan yang runtuh cuma setelah kira-kira 10 hari siap dibina.

Siapa nak jawab ni????

Saturday, October 17, 2009

Happy Deepavali - 17 Oktober 2009



Selamat menyambut Deepavali saya ucapkan kepada semua penganut agama Hindu. Semoga perayaan 'cahaya' - kebaikan mengatasi kejahatan, membawa kemenangan dalam kehidupan seharian kita.

Tradisi yang baik seperti saling memberi ucapan selamat, kunjung mengunjungi patut dikekalkan bagi memelihara kemesraan yang sedia terjalin.

Persaudaraan sesama insan merentasi batas warna kulit dan fahaman. Semoga setiap langkah kita adalah langkah kehadapan, demi mencapai kecemerlangan.

Raikan Perayaan, pupuk semangat Perpaduan - 4 Okt 2009




Saya telah berpeluang menghadiri upacara sambutan ulang tahun ke 56 Kuil Sri Muneeswarar yang terletak di Simpang Pulai.

Perayaan tersebut yang diadakan saban tahun adalah bagi mengumpulkan masyarakat sekitar bagi memupuk semangat kejiranan disamping mengadakan upacara keagamaan dan persembahan kebudayaan masyarakat India.

Ianya merupakan kali kedua saya dijemput mengahdiri upacara sambutan ulang tahun kuil tersebut. Pada tahun lalu, saya hadir sebagai wakil rakyat kerajaan. Kini, sungguhpun tidak lagi bergelar ADUN kerajaan, saya masih dijemput. Saya amat terharu dan berterima kasih atas ingatan dan sokongan masyarakat India di kawasan ini, khususnya yang beragama Hindu.

Seperti tahun lalu, saya diraikan dengan lilitan kain dikepala, dikalungkan dengan malai dan dujamu dengan hidangan makan tengahari.

Ahli jawatankuasa kuil tersebut juga menjemput kawan-kawan yang berbangsa Cina yang turut sama mengahdirinya dan menikmati jamuan makan tengahari.

Sikap prihatin dan terbuka jawatankuasa kuil tersebut cukup baik bagi mengeratkan hubungan antara kaum.

Pesta Tanglung - 3 Oct 2009


Pesta Tanglung telah disambut secara sederhana tetapi meriah, di DUN saya dalam kawasan Gunung Rapat.

Kami membawa tanglung yang berwarna warni berjalan kaki sekitar kawasan sambil melambaikan tangan kepada penduduk.

Penyertaan daripada masyarakat setempat amat menggalakkan. Ada dikalangan mereka yang bermurah hati menderma tanglung dan kuih bulan.

Maklumlah, kini saya tidak lagi mempunyai peruntukan!

Thursday, October 1, 2009

Mewartakan Peruntukan DUN - 1 Oktober 2009



Cabaran kepada prinsip ketelusan adalah dengan perlaksanaannya.

Oleh sebab itu, kami ADUN daripada Parti KEADILAN Rakyat mengambil inisiatif untuk mewartakan perincian peruntukan DUN yang kami terima sewaktu bergelar Ahli Dewan Undangan Kerajaan Negeri Perak.

Wakil-wakil media telah dipanggil dan diberi penerangan serta segala persoalan telah dijawab oleh pihak kami. Setiap seorang daripada mereka juga telah dibekalkan sesalinan perincian peruntukan kami sebagai rujukan.

ADUN daripada PKR cuma tinggal 5 orang, iaitu selain daripada saya sendiri, Saudara Chang Lih Kang ADUN Teja, Saudara Tai Sing Ng ADUN Kuala Sepetang, Saudara Kesavan Subramaniam ADUN Hutan Melintang dan Saudara Abdul Yunus Jamhari ADUN Kuala Kurau.

Malangnya Saudara Yunus tidak dapat hadir kerana terdapat hal kecemasan di kawasan selian beliau.

Saya mengambil kesempatan, sebagai Ketua Whip Parti KEADILAN Rakyat, menyeru agar semua wakil rakyat, khususnya daripada Barisan Nasional, tampil untuk mengemukakan perincian peruntukan mereka agar rakyat tahu kemana wang mereka telah dibelanjakan.

Wednesday, September 30, 2009

Ramadhan dan Syawal, medan ujian terbaik Pakatan Rakyat






Kedatangan Ramadhan dan Syawal pada kali ini menjadi medan ujian yang terbaik buat ADUN Pakatan Rakyat. Ini kerana kami tidak lagi mempunyai peruntukan untuk mengadakan majlis moreh, sumbangan hari raya dan jamuan Aidil Fitri.

Secara peribadi, saya menjangkakan Ramadhan dan Syawal pada tahun ini akan menjadi sunyi, malah sebaliknya pula yang berlaku.

Saya masih berpeluang menghadiri majlis berbuka puasa, masih mampu menyampaikan serba sedikit sumbangan kepada yang memerlukan, hasil sumbangan orang ramai dan dari poket saya sendiri. Walaupun tidak semewah tahun lalu, namun cukuplah untuk melihat senyuman terukir di wajah penerima tanda pemberian dihargai.

Pada petang sebelum 1 Syawal, saya sempat ke Kg Tanjung menyampaikan sumbangan sambil menjenguk persiapan penduduk kampung menyediakan juadah hari raya dan membakar lemang. Saya merasa cukup terharu dilayan bagaikan ahli keluarga, malah ada yang menghadiahkan saya 2 batang lemang.

Saya juga dapat merasai pengalaman baru dengan mengikut kumpulan bertakbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya, yang tidak dirasakan pada tahun sebelumnya. Malah pada tahun ini saya berpeluang menyampaikan 'kuliah pendek' di Surau An-Nur, Pengkalan pada satu majlis pengagihan bubur lambuk.

Setelah melepasi Ramadhan dan meraikan Syawal, menjadikan saya lebih tabah dan bersemangat untuk terus memberikan khidmat terbaik buat penduduk kawasan seliaan saya.

Tidak lagi menjadi ADUN kerajaan bukan alasan untuk menjadi lemah semangat. Sewajarnya ia menjadikan kita, pejuang dan pendukung Pakatan Rakyat lebih gigih dalam memastikan kepercayaan yang diberikan rakyat tidak disia-siakan.

Monday, September 28, 2009

Salam Aidil Fitri 1430 Hijrah / 2009


Salam Aidil Fitri saya ucapkan buat semua Muslimin dan Muslimat, serta yang merayakan dan meraikannya.

Sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas daripada berbuat salah dan silap.

Maka atas kesempatan ini, saya menyusun jari, memohon ampun dan maaf pada semua.

InsyAllah, tugas yang diamanahkan oleh rakyat kepada saya, akan dipertingkatkan lagi. Dan sebagai orang berjuang, perjuangan untuk menegakkan keadilan di bumi Malaysia tetap diteruskan. Semoga langkah perjuangan tetap, teguh dan kemas ke hadapan. Tidak berginjak walau seinci pun ke belakang.

Friday, September 4, 2009

Sumbangan Ramadhan








Bersempena dengan Ramadhan ini, saya dan dengan kerjasama Wanita KEADILAN Cabang Gopeng telah berbesar hati untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada yang memerlukan.

Semasa masih bergelar kerajaan, ADUN-ADUN Pakatan Rakyat mempunyai peruntukan untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin. Kini walaupun tidak lagi mempunyai sebarang peruntukan, tidak sanggup rasanya memutuskan harapan golongan tersebut.

Oleh itu, team Simpang Pulai berusaha mencari dana samada secara persendirian mahupun daripada mereka yang bersimpati dengan perjuangan kami.

Sungguhpun pada tahun ini sumbangan yang disampaikan amat sederhana berbanding tahun sebelumnya, para penerima tampak begitu gembira. Malah ada yang terharu sehingga mengalirkan air mata.

Saya juga merasa terharu kerana masih diterima baik oleh rakyat walaupun bukan lagi sebagai ADUN kerajaan. Juga mendapat kerjasama yang cukup baik daripada ketua-ketua kampung lantikan Pakatan Rakyat yang masih setia berkhidmat tanpa sebarang imbuhan.

Salam Merdeka 2009




Menyedari suasana suram sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, saya mengambil inisiatif mengedarkan jalur gemilang kepada peniaga dan pengunjung pasar Ramadhan sekitar kawasan Simpang Pulai.

Memang terasa dingin dari segi sambutannya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan kedatangan 31 Ogos berbanding tahun lalu semasa Pakatan Rakyat masih memerintah Perak.

Kemungkinan juga faktor penyebabnya adalah kerana umat Islam sibuk menjalani ibadah puasa dan juga membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Sungguhpun begitu, kita patut menyemai semangat cintakan negara di kalangan rakyat terutama pada kanak-kanak dan remaja. Apabila semangat cintakan negara tertanam kukuh dalam jiwa, golongan sasar ini akan membesar menjadi ahli masyarakat yang bertanggung jawab, mempunyai idealisme yang tinggi dan tidak dengan sengaja membuat kerosakan pada harta benda awam atau terbabit dalam kegiatan jenayah.

Tinjauan rambang yang kami lakukan terhadap penduduk dalam kawasan DUN Simpang Pulai mendapati, mereka yang tidak atau belum mengibarkan bendera di rumah atau di premis perniagaan memberikan pelbagai sebab. Antaranya ada yang menunggu sehingga tarikh 31 Ogos itu sendiri.

Ada yang merasakan tidak perlu mengibarkan bendera di rumah mahupun pada kenderaan, tidak kurang yang merasakan diri sebagai warga kelas kedua maka tidak perlulah mengibarkan bendera.

Tetapi ada juga yang enggan mengibarkannya sebagai satu protes atas krisis politik di Perak.

Saya tidak mahu mengatakan samada setuju ataupun tidak dengan tindakan sedemikian. Cuma sebagai seorang wakil rakyat, ia menjadi tugas saya untuk menyemai rasa cintakan negara pada masyarakat.

Meminjam semangat kemerdekaan bersempena sambutan hari merdeka, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Perak,mengenepikan perbezaan ideologi politik, warna kulit mahupun fahaman agama dan menyambutnya dengan penuh rasa syukur atas kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.

Juga mengiktiraf sumbangan setiap pejuang kemerdekaan.

Perjuangan penuntut kemerdekaan telah selesai, tugas untuk mengekalkan kemerdekaan tersebut digalas oleh generasi kini. Malaysia perlu diangkat martabatnya di mata dunia dan menjadi benar-benar bebas daripada segala bentuk penjajahan.

Thursday, September 3, 2009

Kaunter Pendaftaran Bergerak SPR


Beberapa kaunter bergerak anjuran bersama DUN Simpang Pulai dengan Suruhanjaya Pilihanraya telah diadakan di beberapa lokasi sekitar kawasan simpang Pulai.

Anataranya di Kg Baru Simpang Pulai, pasar Ramadhan Rapat Setia, pasar Ramadhan Chandan Desa dan pasar Gunung Rapat. Sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Kesedaran untuk menjadi pengundi perlu ditekankan kerana menurut SPR, 70% penduduk di Perak yang layak, belum mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Saya menyeru kepada semua, terutamanya rakyat di Perak supaya mengambil peluang dalam menentukan corak pemerintahan yang kita mahukan. Jangan mensia-siakan hak anda sebagai rakyat Malaysia.

Chandan Desa - 18 Ogos 2009










Taman Chandan Desa. Masalah yang sering diadukan oleh penduduk sekitar ialah tentang banjir kilat, longkang tersumbat dan masalah habuk akibat lori besar yang lalu lalang.

Bagi menyelesaikan masalah longkang yang tersumbat, saya telah mendapatkan kerjasama pihak MBI (Majlis Bandaraya Ipoh). Kontraktor yang bertanggung jawab menguruskan kawasan tersebut datang bersama pekerjanya. Rata-rata pekerjanya masih amat muda. Seorang daripadanya cuma berumur 17 tahun. Sepatutnya masih berada di bangku sekolah. Saya cuma mampu menggelengkan kepala.

Setiap pekerjaan yang halal juga baik. Cuma berasa agak kesal anak muda tersebut tidak menghabiskan pengajiannya. Saya cuba bertanya tetapi beliau nampak keberatan untuk bercerita.

Ok, saya juga ingin mencuba melakukan kerja-kerja membersihkan longkang dan saya sudah pun membuat persediaan. Saya menyarungkan 'boots' dan meminta penyodok daripada salah seorang anak muda tersebut.

Rupanya bukan mudah juga. Rupa saya mungkin cukup kekok. Saya tahu, anak-anak muda tersebut mentertawakan saya dalam diam.

Seterusnya kami beralih pula meninjau longkang besar atau 'monsoon drain'. Bersama pegawai-pegawai MBI Puan Salmah dan Encik Zackaria dan juga Ketua Kampung Sengat, Tuan Haji Zainudin Mohamad.

Kami menyusuri longkang tersebut dengan berjalan kaki. Sungguh mencabar! Meredah semak samun yang bagaikan hutan, malah berisiko jatuh ke dalam longkang atau bertembung dengan ular.

Perjalanan memakan masa lebih daripada sejam. Daripada situ dapat dikenal pasti punca-punca air longkang tidak mengalir dengan lancar.

Antara faktornya ialah sikap manusia sendiri yang membuang sampah ke dalam longkang. Akhirnya berkumpul dan melambatkan pergerakan air. Sampah seperti plastik dan bekas makanan polisterin tidak mudah lupus.

Ada pokok tumbang merentang longkang menjadi satu faktor penyumbang juga.

Semakin jauh berjalan kami temui bahagian di mana struktur dinding longkang tersebut rebak dan menyempitkannya.

Paling mengejutkan menemui batu batan yang sengaja disusun dan dijaringkan dengan dawai, merentasi longkang tersebut. Ini dibuat untuk memperlahankan pergerakan air, seterusnya menyebabkan air bertakung.

Tidak jauh daripada susunan batu batan tersebut, kami mengesan sebuah rumah pam. Kami mengesyaki air tersebut sengaja ditakung untuk dipam naik ke atas bagi tujuan pengairan.

Saya memanjat naik ke atas dan ternyata telahan kami benar. Terdapat kebun sayur di kawasan berdekatan.

Beginilah sikap segelintir manusia.... Cuma memikirkan keuntungan diri sendiri tanpa mempedulikan hal orang lain. Mungkin juga tidak terlintas di fikiran mereka bahawa sikap tidak bertanggung jawab mereka tersebut bakal mengundang bala kepada orang lain dalam bentuk kerugian harta benda, bahkan nyawa juga.

Tindakan susulan? Sudah pasti!