Thursday, September 3, 2009

Chandan Desa - 18 Ogos 2009










Taman Chandan Desa. Masalah yang sering diadukan oleh penduduk sekitar ialah tentang banjir kilat, longkang tersumbat dan masalah habuk akibat lori besar yang lalu lalang.

Bagi menyelesaikan masalah longkang yang tersumbat, saya telah mendapatkan kerjasama pihak MBI (Majlis Bandaraya Ipoh). Kontraktor yang bertanggung jawab menguruskan kawasan tersebut datang bersama pekerjanya. Rata-rata pekerjanya masih amat muda. Seorang daripadanya cuma berumur 17 tahun. Sepatutnya masih berada di bangku sekolah. Saya cuma mampu menggelengkan kepala.

Setiap pekerjaan yang halal juga baik. Cuma berasa agak kesal anak muda tersebut tidak menghabiskan pengajiannya. Saya cuba bertanya tetapi beliau nampak keberatan untuk bercerita.

Ok, saya juga ingin mencuba melakukan kerja-kerja membersihkan longkang dan saya sudah pun membuat persediaan. Saya menyarungkan 'boots' dan meminta penyodok daripada salah seorang anak muda tersebut.

Rupanya bukan mudah juga. Rupa saya mungkin cukup kekok. Saya tahu, anak-anak muda tersebut mentertawakan saya dalam diam.

Seterusnya kami beralih pula meninjau longkang besar atau 'monsoon drain'. Bersama pegawai-pegawai MBI Puan Salmah dan Encik Zackaria dan juga Ketua Kampung Sengat, Tuan Haji Zainudin Mohamad.

Kami menyusuri longkang tersebut dengan berjalan kaki. Sungguh mencabar! Meredah semak samun yang bagaikan hutan, malah berisiko jatuh ke dalam longkang atau bertembung dengan ular.

Perjalanan memakan masa lebih daripada sejam. Daripada situ dapat dikenal pasti punca-punca air longkang tidak mengalir dengan lancar.

Antara faktornya ialah sikap manusia sendiri yang membuang sampah ke dalam longkang. Akhirnya berkumpul dan melambatkan pergerakan air. Sampah seperti plastik dan bekas makanan polisterin tidak mudah lupus.

Ada pokok tumbang merentang longkang menjadi satu faktor penyumbang juga.

Semakin jauh berjalan kami temui bahagian di mana struktur dinding longkang tersebut rebak dan menyempitkannya.

Paling mengejutkan menemui batu batan yang sengaja disusun dan dijaringkan dengan dawai, merentasi longkang tersebut. Ini dibuat untuk memperlahankan pergerakan air, seterusnya menyebabkan air bertakung.

Tidak jauh daripada susunan batu batan tersebut, kami mengesan sebuah rumah pam. Kami mengesyaki air tersebut sengaja ditakung untuk dipam naik ke atas bagi tujuan pengairan.

Saya memanjat naik ke atas dan ternyata telahan kami benar. Terdapat kebun sayur di kawasan berdekatan.

Beginilah sikap segelintir manusia.... Cuma memikirkan keuntungan diri sendiri tanpa mempedulikan hal orang lain. Mungkin juga tidak terlintas di fikiran mereka bahawa sikap tidak bertanggung jawab mereka tersebut bakal mengundang bala kepada orang lain dalam bentuk kerugian harta benda, bahkan nyawa juga.

Tindakan susulan? Sudah pasti!

No comments: