Friday, September 4, 2009

Salam Merdeka 2009




Menyedari suasana suram sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, saya mengambil inisiatif mengedarkan jalur gemilang kepada peniaga dan pengunjung pasar Ramadhan sekitar kawasan Simpang Pulai.

Memang terasa dingin dari segi sambutannya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan kedatangan 31 Ogos berbanding tahun lalu semasa Pakatan Rakyat masih memerintah Perak.

Kemungkinan juga faktor penyebabnya adalah kerana umat Islam sibuk menjalani ibadah puasa dan juga membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Sungguhpun begitu, kita patut menyemai semangat cintakan negara di kalangan rakyat terutama pada kanak-kanak dan remaja. Apabila semangat cintakan negara tertanam kukuh dalam jiwa, golongan sasar ini akan membesar menjadi ahli masyarakat yang bertanggung jawab, mempunyai idealisme yang tinggi dan tidak dengan sengaja membuat kerosakan pada harta benda awam atau terbabit dalam kegiatan jenayah.

Tinjauan rambang yang kami lakukan terhadap penduduk dalam kawasan DUN Simpang Pulai mendapati, mereka yang tidak atau belum mengibarkan bendera di rumah atau di premis perniagaan memberikan pelbagai sebab. Antaranya ada yang menunggu sehingga tarikh 31 Ogos itu sendiri.

Ada yang merasakan tidak perlu mengibarkan bendera di rumah mahupun pada kenderaan, tidak kurang yang merasakan diri sebagai warga kelas kedua maka tidak perlulah mengibarkan bendera.

Tetapi ada juga yang enggan mengibarkannya sebagai satu protes atas krisis politik di Perak.

Saya tidak mahu mengatakan samada setuju ataupun tidak dengan tindakan sedemikian. Cuma sebagai seorang wakil rakyat, ia menjadi tugas saya untuk menyemai rasa cintakan negara pada masyarakat.

Meminjam semangat kemerdekaan bersempena sambutan hari merdeka, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Perak,mengenepikan perbezaan ideologi politik, warna kulit mahupun fahaman agama dan menyambutnya dengan penuh rasa syukur atas kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.

Juga mengiktiraf sumbangan setiap pejuang kemerdekaan.

Perjuangan penuntut kemerdekaan telah selesai, tugas untuk mengekalkan kemerdekaan tersebut digalas oleh generasi kini. Malaysia perlu diangkat martabatnya di mata dunia dan menjadi benar-benar bebas daripada segala bentuk penjajahan.

No comments: