Monday, November 22, 2010

Tak Kenal Maka Tak Cinta - Pengertian dalam Kesabaran


Ianya telah datang dan pergi. Hadirnya bersama seribu persoalan. Perginya dengan pelbagai kontroversi.

Pemilihan dalaman Parti KEADILAN Rakyat tahun 2010 yang berprinsip kepada 1 ahli, 1 undi mengundang reaksi pelbagai tatkala dicetuskan seawal tahun 2009. Persoalan yang dibangkitkan adalah dari segi logistik, kos dan ketelusan pemilihan itu sendiri.

Kalau dikirakan tentang 'ketelusan', samada sistem pengundian terus atau sistem perwakilan, masih boleh ianya jadi satu pertikaian.

Pemilihan cara 1 ahli, 1 undi ini adalah yang pertama dianjurkan oleh parti politik di Malaysia. Dan ianya dimulakan pula oleh parti yang dianggap 'baru setahun jagung', Parti KEADILAN Rakyat.

Budaya baru yang dimulakan oleh KEADILAN dilihat dapat mengubah lanskap politik tanahair. Setiap anggota parti mempunyai kuasa yang sama. Tiada lagi sistem perwakilan dan perebutan untuk menjadi perwakilan. Dengan sendirinya rasuah politik disekat daripada bertapak dalam KEADILAN. Maka tidak hairan ianya mendapat kecaman hebat pihak lawan. Sistem pemilihan sebegini TIDAK BOLEH dilihat sebagai 'berjaya' di mata rakyat.

Parti lawan yang berbangga dengan keahlian mencecah 2 juta orang, dengan dana yang besar, malah tidak mampu untuk membuat sistem pemilihan yang sebegitu. Adakah rakyat Malaysia sedar bahawa Perdana Menteri Malaysia ditentukan oleh 2,500 perwakilan sahaja? Bagi mewakili 27 juta rakyat Malaysia? Ketelusankah itu?

KEADILAN punya keahlian lebih 400,000 orang di seluruh negara. Sewaktu pengundian terdapat beberapa insiden kekecohan berikutan nama ahli berdaftar lesap daripada senarai. Ini 'sumbangan' ahli berjawatan yang telah melompat keluar.

Dana tidak berapa nak cukup. Itu hakikat yang diakui. Dan Jawatankuasa Pengawas Pemilihan (JPP) yang sering dipersalahkan itu, jumlahnya tidak sampai separuh daripada bilangan yang diperlukan.

JPP perlu bergerak sendiri, dengan kenderaan sendiri untuk mengendalikan urusan pemilhan di Cabang-cabang, dengan menggunakan duit sendiri sementara menantikan 'claim' daripada Pusat. Mereka tidak boleh menjadi calon di peringkat Cabang mahupun Pusat dan terlepas peluang utnuk mengundi. Urusan makan minum mereka sementara mengendalikan satu-satu pemilihan adalah atas ehsan pihak Cabang. Ada kalanya setitik air pun tak dapat! Ini kisah benar.

Namun inilah pengorbanan. Untuk melihat sistem yang baik terlaksana.

Tentu masih ada kekurangannya di sana-sini. Tegurlah ia dengan Kebenaran dan tegurlah ia dengan Kesabaran.

Bagi ahli-ahli Parti, berhentilah daripada bercakaran sesama sendiri. Rakyat menilai kita dan musuh bersorak riang. Berhentilah daripada menimbulkan rasa gusar rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat. Fikirkan juga perasaan mereka.

Berhentilah menghentam Parti melalui media, berhenti mengusung kain rentang dan sepanduk berbaur negetif, dan berhenti membuat komen-komen yang bagai meludah ke langit dalam FB.

Ini Parti kita. Ini maruah kita.