Saturday, January 22, 2011

Perayaan Pupuk Toleransi - lahir sikap hormat kepercayaan agama lain





SIMPANG PULAI - Rakyat di negeri ini perlu saling menghormati perbezaan kepercayaan agama yang ada kerana ia adalah ramuan bagi kehidupan yang harmoni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai berkata, toleransi antara kaum dalam negara perlu dipertahankan agar generasi akan datang dapat mewarisi perpaduan hari ini.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia perlu memamhami dan mengambil kira sensitiviti pelbagai kaum di negara ini bagi mencerminkan semangat toleransi dalam erti kata sebenar.

"Sikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu dikekalkan agar negara terus menikmati keamanan dan kestabilan, saya yakin dengan penerimaan serta sikap keterbukaan sesama warganegara, kita akan dapat mengeratkan hubungan antara kaum, sekaligus meningkatkan persefahaman," katanya ketika ditemui dalam majlis perayaan Thaipusam di Kuil Sri Siva Subramaniar di Simpang Pulai, di sini.

Ming kai berkata, perayaan Thaipusam di Malaysia telah menjadi satu acara antarabangsa apabila ia turut menggamit pelancong dari dalam dan luar negara.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, menurut beliau, Parti KEADILAN Rakyat sentiasa menyokong perayaan itu dengan membuka gerai minuman percuma untuk diberikan kepada para pengunjung.

"Pada kesempatan ini kami dapat bertemu dengan rakan, beramah mesra dan saling bertanyakan khabar, malah ada juga yang bertemu untuk mengutarakan pelbagai masalah, jadi kita kira ia adalah medan terbaik untuk berinteraksi dengan masyarakat khususnya daripada kaum Hindu, katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, tradisi memeriahkan perayaan dan meraikan tetamu harus diteruskan selagi tidak melanggar batas sensitiviti kaum dan anutan lain.

Menurutnya, persefahaman yang dipupuk dengan erat dapat mengelak timbulnya isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

"Adalah penting untuk kita pelihara agar generasi akan datang bertambah kuat dalam mengharung dunia yang semakin mencabar," katanya.

Bagi ADUN Teja, Chang Lih Kang pula, teras kepada kekuatan rakyat Malaysia yang majmuk adalah keupayaan rakyat berinteraksi secara harmoni sesama mereka.

"Kami diraikan oleh jawatan kuasa kuil, diberi penghormatan dengan dikalungkan bunga malai, keadaan ini membuatkan kami rasa cukup terharu dan berbesar hati malah dengan jujur dikatakan tidak terasa jurang perbezaan kaum dan kepercayaan," katanya.


- Keratan dari akhbar Sinar Harian edisi Perak 22 Januari 2011