Wednesday, December 17, 2008

Diari Separuh Hari - 13 Disember 2008



Bagi merealisasikan Program Turun Padang bagi Penukaran Geran kepada Geran Milik Kekal yang bakal berlangsung pada 16 Disember 2008, diari separuh hari saya bermula pada jam lebih kurang 4.30 petang. Pada waktu itu saya sempat menjamah sekeping roti dan secawan kopi. Pada jam 5 petang, saya bersama Pegawai-pegawai Khas saya telah ke Kampung Seri Ampang B, bagi mengedarkan risalah dan memberi penerangan kepada para penduduk mengenai penukaran geran kekal tersebut.

Malang tidak berbau, baharu sahaja kami bermula, salah seorang Pegawai Khas saya, Sdr Tan Kar Hing telah digigit anjing. Walaupun lukanya tidak serius tetapi memerlukan rawatan segera. Kami yang tinggal masih meneruskan kerja-kerja penerangan yang berakhir kira-kira 2 jam kemudian. Saya juga berkesempatan untuk berbincang dengan Ketua Kampung Seri Ampang, Ustaz Shoib atas beberapa perkara.

Selepas selesai mengedarkan risalah, saya bergegas ke kediaman Sdr Tan bagi menjenguk keadaan beliau, dan kemudiannya terus ke Dewan Ampang Bharu Death Benefit Society. Di situ, saya telah memberi penerangan kepada penduduk setempat tentang program penukaran kekal ini. Kami juga telah membuat pengiraan tentang anggaran premium yang perlu dibayar oleh pemohon.

Program penerangan di situ berakhir kira-kira jam 9.15 malam. Saya memandu membelah malam bagi mencari tempat untuk mengisi perut. Dalam perjalanan, telefon saya berdering. Satu kebakaran sedang berlaku di sebuah rumah di Lorong Gunung Rapat 15. Saya pun berpatah balik ke tempat kejadian.

Saya dapati pihak bomba sedang bertungkus lumus memadam api. Syukurlah tiada kecederaan kerana tiada penghuni berada di rumah. Beberapa letupan kecil berlaku yang agak mencemaskan dan pihak TNB telah memotong bekalan elektrik. Kebakaran telah dapat dikawal sepenuhnya pada jam 10 malam dan pihak bomba masih menyiasat punca kejadian.

Setelah itu, baharulah saya memandu semula bagi mencari makanan untuk mengisi perut yang telah lama berkeroncong. Demikian adalah lumrah dalam diari separuh hari saya.

No comments: