Thursday, December 25, 2008

Pertukaran Geran Kekal - 16 Dis 2008









Program penukaran geran kepada geran milik kekal atau milik selama-lamanya yang merupakan salah satu polisi baru Kerajaan Negeri Perak mendapat maklum balas yang sangat baik dikalangan rakyat negeri Perak. Bagi memudahkan urusan penukaran ini, saya telah mengambil inisiatif menjemput para pegawai Pejabat Tanah Kinta (Ipoh) untuk 'turun padang' bagi membantu mereka yang berminat supaya urusan penukaran dapat dipermudahkan dan membantu pemohon dalam aspek teknikal, juga menyenangkan pemohon berdekatan daripada urusan perjalanan ke Pejabat Tanah.

Program pada 16hb Disember ini adalah yang julung-julung kali diadakan dan saya merasa berbesar hati dapat menjadi orang yang pertama menganjurkannya.

Program diadakan di 2 tempat berbeza pada hari yang sama. Pada sebelah paginya, ianya telah diadakan di Dewan Tokong Fook Tat Chee, Gunung Rapat. Manakala pada sebelah lewat tengahari hingga ke petang, ianya telah diadakan di Dewan Ampang Bharu Death Benefit Society. Di Ampang keadaan penuh sesak dengan pemohon dan ada sesetengahnya datang daripada luar kawasan DUN Simpang Pulai.

Seramai 10 orang pegawai daripada Pejabat Tanah Kinta hadir membantu dan para petugas dan sukarelawan daripada DUN Simpang Pulai juga tampil membantu di mana yang boleh. Kami membantu dalam penjualan borang, pengiraan kos premium tanah, pengisian borang dan memberi penerangan kepada pemohon.

Program pada hari itu telah berjalan dengan lancar serta mendapat kunjungan daripada Timbalan Speaker Negeri Perak, YB Puan Hee Yit Foong dan suaminya.

Jutaan terima kasih saya rakamkan kepada kesepuluh pegawai daripada Pejabat Tanah Kinta (Ipoh) dan para petugas yang telah bertungkus lumus menjayakan program pada hari itu.

No comments: