Monday, May 18, 2009

Siri Jelajah Simpang Pulai - 15 Mei 2009





Dalam menangani kemelut politik yang melanda Perak kini, pengundi, iaitu pemegang kuasa terbesar dalam menentukan kerajaan seharusnya diutamakan. Berbagai pendapat telah dilontarkan oleh ahli dan para penganalis politik, tokoh akademik, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang tampil ke hadapan tentang cara terbaik menyelesaikan krisis politik di negeri Perak.

Bagaimana dengan para pengundi senyap pula (silent voters). Apakah kehendak mereka? Apakah isi hati mereka? Apakah pula kegusaran mereka?

Menyedari hakikat ini, saya bersama-sama dengan Ketua Kampung lantikan Kerajaan PR, Saudara Abu Bakar bin Mat Hassan, telah pergi menemui penduduk di Kampung Simpang Pulai.

Bagi sesetengah daripada mereka, politik bukanlah perkara utama. Kehidupan seharian, berjuang melawan penyakit, bergelut dengan kemiskinan dan meniti hari-hari mendatang tanpa sebarang jaminan, itulah yang lebih diutamakan. Keadaan politik yang kucar-kacir kini cuma menambahkan kekalutan sedia ada mereka.

Berdepan dengan masalah banjir, ketua kampung mana yang perlu dirujuk? Berdepan dengan masalah perparitan, peruntukan mana yang dapat digunakan?

Segalanya dalam keadaan terbantut. Majlis-majlis Tempatan tidak dapat bermesyuarat, peruntukan tidak dapat disalurkan, polisi kerajaan tidak dapat dilaksanakan. Dan Baitulmal masih menunggu perlantikan ketua kampung Barisan Nasional sebelum dapat memulakan tugas untuk melulus ataupun menolak segala permohonan sepanjang 2008. Inilah maksud 'stay order' yang diperolehi oleh Dr Zambrey daripada Mahkamah Rayuan tempohari. Segala-galanya perlu berhenti.

Cuma dalam akhbar arus perdana sahaja yang nampak gah.Seolah-olah segalanya berjalan lancar. Hakikatnya...?

Monday, May 11, 2009

Selamat Hari Ibu - 10 Mei 2009




Sempena Hari Ibu,saya bersama-sama dengan Wanita KeADILan Bahagaian Gopeng telah menghadiahkan bunga kepada ibu-ibu di kawasan sekitar Ampang. Ianya bagi memperingati pengorbanan dan jasa para ibu terhadap keluarga mereka.

Kita sering terlepas pandang akan peranan ibu yang pada kebiasaannya merupakan orang yang paling awal bangun dalam keluarganya dan cuma akan berehat apabila semua keperluan keluarga telah siap diuruskan.

Maka, sempena Hari Ibu Sedunia yang jatuh pada 10 Mei, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada semua kaum ibu di luar sana. Jasa ibu dalam membentuk masyarakat tidak ternilai.

Hidup Perlu Diteruskan - 9 Mei 2009 - Sukan PASTI Gopeng



Selepas kekecohan pada Sidang DUN 2 hari sebelumnya ( 7 Mei 2009 )yang tidak mahu saya ulas panjang di sini, saya meneruskan tugas saya seperti biasa iaitu sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam kawasan Simpang Pulai.

Saya telah hadir dalam acara temasya sukan tahunan kanak-kanak Tadika PASTI dalam kawasan Gopeng. Bertempat di padang Taman Bersatu, acara sukan berkenaan amat meriah sekali.

Saya kagum dengan cara kanak-kanak Tadika PASTI ini dididik. Jelas, semangat kesukanan yang tinggi, sikap unuk bersaing tetapi masih cukup berdisiplin dan amat mengikut peraturan. Setiap acara sukan dijalankan dengan penuh tertib tanpa ada yang cuba melanggar peraturan dengan berbuat sesuka hati.

Turut hadir ke acara temasya tersebut ialah Menteri Besar, Dato'Seri Ir Nizar yang singgah sebentar bagi menghantar isteri beliau Datin Seri Fatimah Taat dan menjenguk anak bongsu mereka yang merupakan salah seorang pelajar tadika PASTI. Turut hadir, bekas calon Dun Sungai Rapat dan Timbalan YDP PAS Kawasan Gopeng, Saudara Radzi Zainon, AJK temasya sukan PASTI dan Ketua-ketua Kampung lantikan Kerajaan Pakatan
Rakyat Perak.