Wednesday, September 30, 2009

Ramadhan dan Syawal, medan ujian terbaik Pakatan Rakyat






Kedatangan Ramadhan dan Syawal pada kali ini menjadi medan ujian yang terbaik buat ADUN Pakatan Rakyat. Ini kerana kami tidak lagi mempunyai peruntukan untuk mengadakan majlis moreh, sumbangan hari raya dan jamuan Aidil Fitri.

Secara peribadi, saya menjangkakan Ramadhan dan Syawal pada tahun ini akan menjadi sunyi, malah sebaliknya pula yang berlaku.

Saya masih berpeluang menghadiri majlis berbuka puasa, masih mampu menyampaikan serba sedikit sumbangan kepada yang memerlukan, hasil sumbangan orang ramai dan dari poket saya sendiri. Walaupun tidak semewah tahun lalu, namun cukuplah untuk melihat senyuman terukir di wajah penerima tanda pemberian dihargai.

Pada petang sebelum 1 Syawal, saya sempat ke Kg Tanjung menyampaikan sumbangan sambil menjenguk persiapan penduduk kampung menyediakan juadah hari raya dan membakar lemang. Saya merasa cukup terharu dilayan bagaikan ahli keluarga, malah ada yang menghadiahkan saya 2 batang lemang.

Saya juga dapat merasai pengalaman baru dengan mengikut kumpulan bertakbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya, yang tidak dirasakan pada tahun sebelumnya. Malah pada tahun ini saya berpeluang menyampaikan 'kuliah pendek' di Surau An-Nur, Pengkalan pada satu majlis pengagihan bubur lambuk.

Setelah melepasi Ramadhan dan meraikan Syawal, menjadikan saya lebih tabah dan bersemangat untuk terus memberikan khidmat terbaik buat penduduk kawasan seliaan saya.

Tidak lagi menjadi ADUN kerajaan bukan alasan untuk menjadi lemah semangat. Sewajarnya ia menjadikan kita, pejuang dan pendukung Pakatan Rakyat lebih gigih dalam memastikan kepercayaan yang diberikan rakyat tidak disia-siakan.

Monday, September 28, 2009

Salam Aidil Fitri 1430 Hijrah / 2009


Salam Aidil Fitri saya ucapkan buat semua Muslimin dan Muslimat, serta yang merayakan dan meraikannya.

Sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas daripada berbuat salah dan silap.

Maka atas kesempatan ini, saya menyusun jari, memohon ampun dan maaf pada semua.

InsyAllah, tugas yang diamanahkan oleh rakyat kepada saya, akan dipertingkatkan lagi. Dan sebagai orang berjuang, perjuangan untuk menegakkan keadilan di bumi Malaysia tetap diteruskan. Semoga langkah perjuangan tetap, teguh dan kemas ke hadapan. Tidak berginjak walau seinci pun ke belakang.

Friday, September 4, 2009

Sumbangan Ramadhan








Bersempena dengan Ramadhan ini, saya dan dengan kerjasama Wanita KEADILAN Cabang Gopeng telah berbesar hati untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada yang memerlukan.

Semasa masih bergelar kerajaan, ADUN-ADUN Pakatan Rakyat mempunyai peruntukan untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin. Kini walaupun tidak lagi mempunyai sebarang peruntukan, tidak sanggup rasanya memutuskan harapan golongan tersebut.

Oleh itu, team Simpang Pulai berusaha mencari dana samada secara persendirian mahupun daripada mereka yang bersimpati dengan perjuangan kami.

Sungguhpun pada tahun ini sumbangan yang disampaikan amat sederhana berbanding tahun sebelumnya, para penerima tampak begitu gembira. Malah ada yang terharu sehingga mengalirkan air mata.

Saya juga merasa terharu kerana masih diterima baik oleh rakyat walaupun bukan lagi sebagai ADUN kerajaan. Juga mendapat kerjasama yang cukup baik daripada ketua-ketua kampung lantikan Pakatan Rakyat yang masih setia berkhidmat tanpa sebarang imbuhan.

Salam Merdeka 2009




Menyedari suasana suram sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, saya mengambil inisiatif mengedarkan jalur gemilang kepada peniaga dan pengunjung pasar Ramadhan sekitar kawasan Simpang Pulai.

Memang terasa dingin dari segi sambutannya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan kedatangan 31 Ogos berbanding tahun lalu semasa Pakatan Rakyat masih memerintah Perak.

Kemungkinan juga faktor penyebabnya adalah kerana umat Islam sibuk menjalani ibadah puasa dan juga membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Sungguhpun begitu, kita patut menyemai semangat cintakan negara di kalangan rakyat terutama pada kanak-kanak dan remaja. Apabila semangat cintakan negara tertanam kukuh dalam jiwa, golongan sasar ini akan membesar menjadi ahli masyarakat yang bertanggung jawab, mempunyai idealisme yang tinggi dan tidak dengan sengaja membuat kerosakan pada harta benda awam atau terbabit dalam kegiatan jenayah.

Tinjauan rambang yang kami lakukan terhadap penduduk dalam kawasan DUN Simpang Pulai mendapati, mereka yang tidak atau belum mengibarkan bendera di rumah atau di premis perniagaan memberikan pelbagai sebab. Antaranya ada yang menunggu sehingga tarikh 31 Ogos itu sendiri.

Ada yang merasakan tidak perlu mengibarkan bendera di rumah mahupun pada kenderaan, tidak kurang yang merasakan diri sebagai warga kelas kedua maka tidak perlulah mengibarkan bendera.

Tetapi ada juga yang enggan mengibarkannya sebagai satu protes atas krisis politik di Perak.

Saya tidak mahu mengatakan samada setuju ataupun tidak dengan tindakan sedemikian. Cuma sebagai seorang wakil rakyat, ia menjadi tugas saya untuk menyemai rasa cintakan negara pada masyarakat.

Meminjam semangat kemerdekaan bersempena sambutan hari merdeka, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Perak,mengenepikan perbezaan ideologi politik, warna kulit mahupun fahaman agama dan menyambutnya dengan penuh rasa syukur atas kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.

Juga mengiktiraf sumbangan setiap pejuang kemerdekaan.

Perjuangan penuntut kemerdekaan telah selesai, tugas untuk mengekalkan kemerdekaan tersebut digalas oleh generasi kini. Malaysia perlu diangkat martabatnya di mata dunia dan menjadi benar-benar bebas daripada segala bentuk penjajahan.

Thursday, September 3, 2009

Kaunter Pendaftaran Bergerak SPR


Beberapa kaunter bergerak anjuran bersama DUN Simpang Pulai dengan Suruhanjaya Pilihanraya telah diadakan di beberapa lokasi sekitar kawasan simpang Pulai.

Anataranya di Kg Baru Simpang Pulai, pasar Ramadhan Rapat Setia, pasar Ramadhan Chandan Desa dan pasar Gunung Rapat. Sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Kesedaran untuk menjadi pengundi perlu ditekankan kerana menurut SPR, 70% penduduk di Perak yang layak, belum mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Saya menyeru kepada semua, terutamanya rakyat di Perak supaya mengambil peluang dalam menentukan corak pemerintahan yang kita mahukan. Jangan mensia-siakan hak anda sebagai rakyat Malaysia.

Chandan Desa - 18 Ogos 2009










Taman Chandan Desa. Masalah yang sering diadukan oleh penduduk sekitar ialah tentang banjir kilat, longkang tersumbat dan masalah habuk akibat lori besar yang lalu lalang.

Bagi menyelesaikan masalah longkang yang tersumbat, saya telah mendapatkan kerjasama pihak MBI (Majlis Bandaraya Ipoh). Kontraktor yang bertanggung jawab menguruskan kawasan tersebut datang bersama pekerjanya. Rata-rata pekerjanya masih amat muda. Seorang daripadanya cuma berumur 17 tahun. Sepatutnya masih berada di bangku sekolah. Saya cuma mampu menggelengkan kepala.

Setiap pekerjaan yang halal juga baik. Cuma berasa agak kesal anak muda tersebut tidak menghabiskan pengajiannya. Saya cuba bertanya tetapi beliau nampak keberatan untuk bercerita.

Ok, saya juga ingin mencuba melakukan kerja-kerja membersihkan longkang dan saya sudah pun membuat persediaan. Saya menyarungkan 'boots' dan meminta penyodok daripada salah seorang anak muda tersebut.

Rupanya bukan mudah juga. Rupa saya mungkin cukup kekok. Saya tahu, anak-anak muda tersebut mentertawakan saya dalam diam.

Seterusnya kami beralih pula meninjau longkang besar atau 'monsoon drain'. Bersama pegawai-pegawai MBI Puan Salmah dan Encik Zackaria dan juga Ketua Kampung Sengat, Tuan Haji Zainudin Mohamad.

Kami menyusuri longkang tersebut dengan berjalan kaki. Sungguh mencabar! Meredah semak samun yang bagaikan hutan, malah berisiko jatuh ke dalam longkang atau bertembung dengan ular.

Perjalanan memakan masa lebih daripada sejam. Daripada situ dapat dikenal pasti punca-punca air longkang tidak mengalir dengan lancar.

Antara faktornya ialah sikap manusia sendiri yang membuang sampah ke dalam longkang. Akhirnya berkumpul dan melambatkan pergerakan air. Sampah seperti plastik dan bekas makanan polisterin tidak mudah lupus.

Ada pokok tumbang merentang longkang menjadi satu faktor penyumbang juga.

Semakin jauh berjalan kami temui bahagian di mana struktur dinding longkang tersebut rebak dan menyempitkannya.

Paling mengejutkan menemui batu batan yang sengaja disusun dan dijaringkan dengan dawai, merentasi longkang tersebut. Ini dibuat untuk memperlahankan pergerakan air, seterusnya menyebabkan air bertakung.

Tidak jauh daripada susunan batu batan tersebut, kami mengesan sebuah rumah pam. Kami mengesyaki air tersebut sengaja ditakung untuk dipam naik ke atas bagi tujuan pengairan.

Saya memanjat naik ke atas dan ternyata telahan kami benar. Terdapat kebun sayur di kawasan berdekatan.

Beginilah sikap segelintir manusia.... Cuma memikirkan keuntungan diri sendiri tanpa mempedulikan hal orang lain. Mungkin juga tidak terlintas di fikiran mereka bahawa sikap tidak bertanggung jawab mereka tersebut bakal mengundang bala kepada orang lain dalam bentuk kerugian harta benda, bahkan nyawa juga.

Tindakan susulan? Sudah pasti!