Monday, January 11, 2010

Serangan Terhadap Rumah Ibadah Kristian Dikecam


Saya mengutuk dengan sekeras-kerasnya, tindakan mereka yang terlibat dalam serangan ke atas beberapa buah gereja Kristian di seluruh negara semenjak beberapa hari yang lalu.

Episod malang dalam negara seperti itu, tidak seharusnya berlaku. Selama ini Malaysia dikenali dunia sebagai satu negara pelbagai kaum, agama, adat dan budaya tetapi masih dapat hidup dalam suasana harmoni.

Tindakan puak pelampua ini juga bertentangan dengan perlembagaan negara yang menjamin hak kebebasan beragama dan mempraktikkan ajaran agama masing-masing.

Malah menurut Islam sendiri, walaupun dalam masa peperangan, rumah ibadah agama apa sekalipun tidak boleh diserang. Mereka yang berlindung di dalamnya juga tidak boleh disakiti.

Walaupun begitu, saya berasakan, kejadian serangan itu bukanlah sesuatu yang amat mengejutkan. Sebaliknya ia lebih merupakan satu padah akibat berpuluh tahun dipupuk dengan politik sempit yang sentiasa memainkan isu kaum dan agama.

Namun sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara dan keamanan, saya menyeru agar semua pihak dapat bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang cuba dicetuskan.

No comments: