Friday, October 15, 2010

Hati-hati Sindiket Loteri



Tuan Syed Rasdi Bin Syed Aziz Baftim dan Puan Lee Moy Kooi memegang surat tawaran loteri yang mereka terima


Dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit ini, wang menjadi tarikan utama kepada manusia.

Namun dalam keghairahan mengejar wang, berhati-hatilah kerana terdapat pihak yang akan mengambil kesempatan atas kelemahan manusia ini.

Tuan Syed Rasdi Bin Syed Aziz Baftim, 68 tahun dan Puan Lee Moy Kooi, 53 tahun masing-masing menerima surat daripada sebuah syarikat loteri Sepanyol yang menyatakan mereka telah memenangi wang tunai sebanyak 8 juta Euro!

Too good to be true. Mujurlah kedua-dua penerima surat ini mengambil langkah berhati-hati.

Kebetulan kedua-dua mereka tinggal dalam taman perumahan yang sama. Setelah diteliti, terdapat beberapa penipuan yang jelas - surat tersebut adalah merupakan salinan, no siri kemenangan dan kategori yang mereka menangi juga adalah sama.

Syarikat loteri itu juga melarang penerima surat daripada menghebahkannya kepada pengetahuan umum. Dan yang paling bahaya sekali ialah, syarikat meminta butiran peribadi termasuk no akaun bank serta tandatangan penerima agar mengizinkan syarikat terbabit 'menguruskan' wang loteri tersebut.

Tuan Syed Rasdi seorang pesara merasa hairan bagaimana nama beliau boleh dikaitkan dengan syarikat loteri sedangkan beliau tidak pernah terbabit dengan sebarang bentuk perjudian seumur hidupnya.

Puan Lee juga khuatir bagaimana nama dan alamat rumah beliau diperolehi syarikat daripada negara Sepanyol sedangkan beliau adalah seorang surirumah sepenuh masa dan tiada tabiat berjudi.

Saya terpanggil untuk menampilkan isu ini kerana tidak mahu ada yang tertipu dengan sindiket yang sebegini. Juga ingin mengingatkan agar setiap daripada kita supaya berhati-hati sebelum mendedahkan butiran peribadi.

Terdapat pelbagai cara butiran peribadi kita didedahkan tanpa kita sedari. Umpamanya syarikat-syarikat yang menawarkan hadiah-hadiah kecil, namun sebelum kita dapat menuntut hadiah tersebut, kita disyaratkan agar mengisi borang data peribadi.

Maka berhati-hatilah.

Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

No comments: