Friday, October 29, 2010
Posting pertama blog ini adalah pada 3hb Oktober 2008. Blog ini saya gunakan bagi mewar-warkan segala aktiviti dalam DUN Simpang Pulai dan menyatakan pandangan serta pendirian saya berlandaskan fakta.
Tidak pernah saya gunakan blog ini untuk menyerang mana-mana individu. Prinsip saya ialah saya akan nyatakan 'my side of the story'. Terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian.
Namun ada satu blog yang konsisten menyerang saya. Blog yang 'berharap menjadi satu saluran untuk menyatakan' ini sering membuat tuduhan melulu dan serangan peribadi terhadap saya.
Yang paling dikesalkan, bukan sahaja saya seorang yang kena, malah orang di sekeliling saya turut terkena tempiasnya.
Antara lain, blog ini sering membangkitkan isu saya memakai baju Melayu dan bersongkok.
Hairan. Datuk Lee Chong Wei bila berpakaian baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping dikatakan kebanggaan negara. Saya dikatakan cuba menipu orang Melayu.
Dewasa ini ramai pelajar-pelajar perempuan bukan Melayu yang memakai pakaian seragam baju kurung ke sekolah. Itu bagaimana?
Penulis upahan ini seringkali cuba membangkitkan sentimen orang Islam/ Melayu terhadap saya. Inilah cara UMNO BN.
Kalaulah cara ini masih berkesan, UMNO BN telah menang besar Pilihan Raya Umum 2008. Jika formula ini masih boleh dipakai, UMNO BN tidak perlu berjerih perih menghadapi siri-siri Pilihan Raya Kecil yang bagai tiada noktah ini.
Bagi penulis-penulis upahan ini, inginlah saya sebut di sini hukamak Arab yang sering saya gunakan dalam ceramah - Manjadda, Wa jada
Maksudnya, 'Siapa yang menanam, Dia yang menuai'. Sekiranya benih baik yang kita tanam, maka hasilnya pun baik. Namun jika kita asyik menanam benih buruk, maka buruklah balasan yang akan kita dapat.
Sekiranya penulis upahan ini Islam, tentu mereka faham akan konsep pahala, dosa, halal dan haram. Apakah status upah yang mereka perolehi yang diberi makan kepada anak dan isteri? Dapatkah mereka membina keluarga bahagia dengan upah daripada kerja yang tidak beretika ini?
Bagi yang bukan Islam pun percaya akan konsep 'hukum alam' atau 'karma'.
Saya boleh saja membalas dengan cara yang sama. Tetapi saya tidak akan jadi sekeji itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
tahniah atas sikap yang diambil.
Post a Comment