Tuesday, December 21, 2010
Kempen Daftar Pengundi Dapat Sambutan
Kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum, mendorong aktivis KEADILAN menganjurkan kaunter pendaftaran pengundi baru.
Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, kempen tersebut diadakan bagi membuat semakan dan mendaftar mereka yang telah layak mengundi di kawasan Parlimen Gopeng.
Menurutnya, atas tanggungjawab berkenaan, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai menganjurkan satu program daftar pengundi di Taman Song Choon.
" Program ini mendapat sambutan menggalakkan kerana ramai yang berminat untuk mengetahui taraf mereka sebagai pengundi dan di mana undi mereka akan dibuang.
" Kita boleh lihat kehadiran golongan muda amat menggalakkan dan maklum balas yang diberikan begitu baik sekali malah ada segelintir daripadanya turut memberikan idea serta cadangan yang baik kepada kami," katanya.
Dr Lee berkata, walaupun pada masa kini KEADILAN 'diserang' habis-habisan dari segenap sudut namun parti berkenaan tetap teguh dan mendapat maklum balas yang baik daripada rakyat.
" Kaunter daftar pengundi ini berjaya mendaftarkan 212 pengundi baru dan yang bertukar alamat dalam masa 2 jam sahaja.
" Malah dalam hiruk pikuk tekanan dan cercaan terhadap Parti KEADILAN Rakyat umumnya, namun sokongan masyarakat tidak terjejas sebaliknya semakin meningkat," katanya.
Sementara itu Chan Ming Kai berkata, kempen itu merupakan medium terbaik bagi KEADILAN khususnya dan Pakatan Rakyat memberi maklumat terkini senario politik negara malah pihaknya bercadang untuk meneruskan siri jelajah daftar pemilih berkenaan.
" Pihak kami menghantar sejumlah 6,000 notis pemberitahuan mengenai kaunter ini ke sekitar Taman Song Choon termasuk Taman Seri Botani dan Seri Margosa yang berada dalam DUN selian saya.
" Oleh kerana sambutannya amat baik, kami bercadang mengadakannya lagi di kawasan lain dalam Parlimen Gopeng dari semasa ke semasa dan kita akan gerakkan usaha ini secara berperingkat," katanya.
Petikan daripada Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment