Thursday, December 30, 2010

Rakyat dibebani Kenaikan Harga Barang


SIMPANG PULAI - Keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat merungut kerana terus dibebankan dengan kenaikan harga barang, khususnya petrol dan gula.

Rakyat dibebankan dengan kenaikan Petrol RON95, sebanyak 5 sen menjadikan RM1.90 seliter dan dua hari sebelum dikuatkuasakan, petrol RON97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter.

Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan RM1.90 sekilogram malah lebih mendukacitakan harga gula pula naik 20 sen menjadikan RM2.10 sekilogram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai berkata, disebabkan kenaikan itu, pihaknya mengambil inisiatif bertemu pengusaha sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai.

Menurutnya, beliau bersimpati dengan nasib rakyat terutamanya rakyat miskin malah peniaga turut berhadapan dengan pelbagai masalah kesan kenaikan harga oleh kerajaan.

" Golongan peniaga, baik pekedai runcit, pengusaha restoran, pembekal dan apa sahaja tentu terkesan dengan kenaikan harga barangan terutamanya petrol.

" Kita perlu sedar bahawa akibat kenaikan harga petrol dalam negara, tentu sahaja peniaga terpaksa menaikkan harga makanan, akhirnya menyusahkan rakyat sendiri, " katanya.

Ming Kai berkata, seharusnya kerajaan lebih prihatin dan mendahulukan rakyat dalam hal berkenaan selain tidak membiarkan rakyat terus dirundung malang dengan keadaan ekonomi yang semakin menghimpit.

" Janji mendahulukan rakyat oleh Menteri Perdagangan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 November lalu menyatakan bahawa kerajaan memberi jaminan harga minyak RON95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat namun, 3 Disember lalu naik 5 sen dan perkara ini mendukacitakan," katanya.

Sementara itu katanya, kunjungan itu juga bagi mengucapkan selamat maju jaya dalam menempuh tahun baru yang diharapkan lebih baik daripada tahun sebelumnya kepada peniaga.

'Di kala ekonomi yang tidak menentu dengan kenaikan harga barangan utama, tentu sahaja cabaran besar menanti mereka dalam membekalkan perkhidmatan kepada rakyat.

" Tahun baru ini, kita menjangkakan akan berlaku lagi kenaikan harga keperluan asas lain, jika ia naik tentu membebankan peniaga dan pengguna," katanya.


- Keratan Sinar Harian Perak 30 Disember 2010

No comments: