Thursday, February 12, 2009

Hari Kematian Demokrasi Di Perak - Kempen Berpakaian Hitam - 10 Feb 2009





Pada pagi tersebut, kami berkumpul di kediaman rasmi MB sebelum bertolak ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK). Hari tersebut adalah hari Selasa dan hari bertemu pelanggan antara rakyat dan MB serta barisan pimpinannya.

Kami juga telah mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai tarikh kematian demokrasi di Perak. Dan warna berkabung kami, rakyat Perak adalah hitam bagi menggambarkan kesedihan yang dirasai.

Kenderaan kami bergerak secara konvoi ke SUK, malangnya hasrat kami untuk memasuki bangunan tersebut telah dihalang oleh sekumpulan FRU dan anggota polis.

Saya dan Sdr Chang telah cuba berbincang dengan pihak polis bagi membenarkan kami masuk, malang sekali lagi, permintaan kami ditolak. Saya bertanyakan kepada pihak berkuasa, siapakah yang telah mengeluarkan arahan sebegitu. Tiada jawapan.

Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, MB Nizar mengambil keputusan untuk pulang ke residensi beliau setelah membuat kenyataan akhbar bahawa beliau dan pimpinan PR telah cuba menunaikan janji dengan rakyat

Saturday, February 7, 2009

7 FEB 2009 - Sehari Selepas Dr Zambry Mengangkat Sumpah Sebagai MB Barisan Nasional







Pada hari ini, saya bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat telah bermesyuarat di residensi Menteri Besar Perak. Kami masih menjalankan tugas kami sebagai kerajaan yang sah, yang dipilih oleh rakyat Perak pada pilihanraya umum yang lalu.

Manakala MB yang baru mengangkat sumpah dan pimpinan kerajaan baru beliau yang melalui 'jalan belakang',mungkin sedang sibuk mengagih-agihkan kerusi exco dikalangan mereka.

Dato' Seri Nizar Jamaludin malah telah ditemuramah oleh stesen tv Al Jazeera mengenai situasi di Perak.

Pada mesyuarat yang diputuskan pada pagi ini, beberapa dasar telah diluluskan. Antaranya, setiap permohonan penukaran geran sementara kepada milik kekal, diluluskan. Semua Ahli Majlis Tempatan yang telah dipilih adalah sah dan perlu menjalankan tugas seperti biasa. Lapangan terbang Ipoh akan di naik tarafkan. Dan peruntukan kifalah kepada warga Perak yang miskin sebanyak RM1000 seorang atas setiap kematian kepada warga yang meninggal dunia pada umur 65 tahun ke atas, akan diberi untuk meringankan kos pengkebumian tanpa mengira bangsa dan fahaman agama.

MB Nizar dan barisan Exco akan masih ke pejabat seperti biasa pada hari Selasa yang akan datang. Beliau juga sempat mengucapkan Selamat Menyambut Thaipusam kepada penganut agama Hindu.

Hari Sultan Menitahkan MB Nizar Meletakkan Jawatan - 5 FEB 2009











Kemelut di Perak menemui satu lagi dimensi, Baginda Sultan Perak telah menitahkan Dato' Seri Mohamad Nizar, Menteri Besar Perak yang dilantik menerajui Kerajaan Pakatan Rakyat Perak setelah diberi mandat oleh rakyat Perak melalui pilihanraya umum yang ke- 12 pada Mac 2008, untuk meletakkan jawatan.

MB Nizar mohon menderhaka dengan tidak meletakkan jawatan beliau, sebaliknya ingin menunggu sehingga selesai proses undang-undang ke atas ketiga-tiga ADUN yang secara teknikalnya telah meletakkan jawatan mereka atas surat yang telah mereka tandatangani sebelum mengangkat sumpah menjalankan tugas wakil rakyat.

Rakyat marhaen turun berbondong-bondong ke residensi Menteri Besar bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Dato' Seri Mohamad Nizar dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Perak, di bawah Kerajaan Pakatan rakyat telah menemui satu formula yang dapat menyatukan semua kaum, pelbagai fahaman dan pelbagai lapisan umur. Ini jelas kelihatan di kediaman MB pada malam 5 FEB 2009.