Monday, May 18, 2009

Siri Jelajah Simpang Pulai - 15 Mei 2009





Dalam menangani kemelut politik yang melanda Perak kini, pengundi, iaitu pemegang kuasa terbesar dalam menentukan kerajaan seharusnya diutamakan. Berbagai pendapat telah dilontarkan oleh ahli dan para penganalis politik, tokoh akademik, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang tampil ke hadapan tentang cara terbaik menyelesaikan krisis politik di negeri Perak.

Bagaimana dengan para pengundi senyap pula (silent voters). Apakah kehendak mereka? Apakah isi hati mereka? Apakah pula kegusaran mereka?

Menyedari hakikat ini, saya bersama-sama dengan Ketua Kampung lantikan Kerajaan PR, Saudara Abu Bakar bin Mat Hassan, telah pergi menemui penduduk di Kampung Simpang Pulai.

Bagi sesetengah daripada mereka, politik bukanlah perkara utama. Kehidupan seharian, berjuang melawan penyakit, bergelut dengan kemiskinan dan meniti hari-hari mendatang tanpa sebarang jaminan, itulah yang lebih diutamakan. Keadaan politik yang kucar-kacir kini cuma menambahkan kekalutan sedia ada mereka.

Berdepan dengan masalah banjir, ketua kampung mana yang perlu dirujuk? Berdepan dengan masalah perparitan, peruntukan mana yang dapat digunakan?

Segalanya dalam keadaan terbantut. Majlis-majlis Tempatan tidak dapat bermesyuarat, peruntukan tidak dapat disalurkan, polisi kerajaan tidak dapat dilaksanakan. Dan Baitulmal masih menunggu perlantikan ketua kampung Barisan Nasional sebelum dapat memulakan tugas untuk melulus ataupun menolak segala permohonan sepanjang 2008. Inilah maksud 'stay order' yang diperolehi oleh Dr Zambrey daripada Mahkamah Rayuan tempohari. Segala-galanya perlu berhenti.

Cuma dalam akhbar arus perdana sahaja yang nampak gah.Seolah-olah segalanya berjalan lancar. Hakikatnya...?

Monday, May 11, 2009

Selamat Hari Ibu - 10 Mei 2009




Sempena Hari Ibu,saya bersama-sama dengan Wanita KeADILan Bahagaian Gopeng telah menghadiahkan bunga kepada ibu-ibu di kawasan sekitar Ampang. Ianya bagi memperingati pengorbanan dan jasa para ibu terhadap keluarga mereka.

Kita sering terlepas pandang akan peranan ibu yang pada kebiasaannya merupakan orang yang paling awal bangun dalam keluarganya dan cuma akan berehat apabila semua keperluan keluarga telah siap diuruskan.

Maka, sempena Hari Ibu Sedunia yang jatuh pada 10 Mei, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada semua kaum ibu di luar sana. Jasa ibu dalam membentuk masyarakat tidak ternilai.

Hidup Perlu Diteruskan - 9 Mei 2009 - Sukan PASTI Gopeng



Selepas kekecohan pada Sidang DUN 2 hari sebelumnya ( 7 Mei 2009 )yang tidak mahu saya ulas panjang di sini, saya meneruskan tugas saya seperti biasa iaitu sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam kawasan Simpang Pulai.

Saya telah hadir dalam acara temasya sukan tahunan kanak-kanak Tadika PASTI dalam kawasan Gopeng. Bertempat di padang Taman Bersatu, acara sukan berkenaan amat meriah sekali.

Saya kagum dengan cara kanak-kanak Tadika PASTI ini dididik. Jelas, semangat kesukanan yang tinggi, sikap unuk bersaing tetapi masih cukup berdisiplin dan amat mengikut peraturan. Setiap acara sukan dijalankan dengan penuh tertib tanpa ada yang cuba melanggar peraturan dengan berbuat sesuka hati.

Turut hadir ke acara temasya tersebut ialah Menteri Besar, Dato'Seri Ir Nizar yang singgah sebentar bagi menghantar isteri beliau Datin Seri Fatimah Taat dan menjenguk anak bongsu mereka yang merupakan salah seorang pelajar tadika PASTI. Turut hadir, bekas calon Dun Sungai Rapat dan Timbalan YDP PAS Kawasan Gopeng, Saudara Radzi Zainon, AJK temasya sukan PASTI dan Ketua-ketua Kampung lantikan Kerajaan Pakatan
Rakyat Perak.

Tuesday, April 28, 2009

Cadangan Meroboh dan Membina Semula Pasar Gunung Rapat







Pada pagi 28 APRIL 2009, saya bersama-sama pegawai-pegawai saya telah ke Pasar Gunung Rapat yang dirancang untuk dirobohkan dan dibina ditapaknya satu pasar yang baru, lebih besar dan moden.

Pihak Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil usaha untuk mengadakan ruang pameran bagi memberi gambaran visual tentang rupa bentuk pasar yang bakal dibina.

Mengikut perancangannya, pasar ini akan dibina 3 tingkat - basement untuk tempat letak kereta, ground floor dan mezzanine. Sungguhpun pegawai Majlis Bandaraya Ipoh menerangkan bahawa 'mezzanine floor' itu bukan tingkat kedua, ianya cuma 6 anak tangga ke atas sahaja, cadangan itu masih tetap mendapat bantahan daripada para peniaga.

Pada keadaan asalnya, cuma terdapat 200 lebih gerai. Tetapi mengikut pelan yang dipamerkan, akan adanya penambahan gerai hingga ke 346 buah. Sebanyak 179 buah gerai akan ditempatkan di aras bumi dan selebihnya, 167 buah adalah di tingkat yang kedua. Para peniaga yang menjual barangan kering akan ditempatkan di tingkat yang kedua. Faktor inilah yang menjadi protes kepada para peniaga kerana tiada sesiapa yang mahu ditempatkan di tingkat atas.

Dipihak kami telah membangkitkan tentang tiadanya laluan trolley dan OKU untuk ke tingkat atas. Juga pihak Majlis diingatkan supaya membina tandas untuk kegunaan OKU.
Perlu diingat, golongan yang ramai ke pasar adalah warga emas. Maka ciri-ciri reka bentuk pasar perlu mengambil kira faktor tersebut.

Jangka masa pembinaan pasar setelah mendapatkan kelulusan, belum dapat diberikan anggaran. Penempatan sementara bagi para peniaga bagaimanapun, telah dikenal pasti.

Saturday, April 25, 2009

Radiasi - SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) - 24 April 2009




Terlalu banyak yang diperkatakan tentang radiasi dan hubung kaitnya dengan masalah kesihatan manusia. Banyak juga protes daripada penduduk apabila syarikat telekomunikasi ingin atau mula memasang stesyen-stesyen pemancar di kawasan kediaman mereka.

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas, pihak saya telah menghubungi pihak SKMM - Suruhanjaya Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia, berhubung isu radiasi dan kesannya terhadap masalah kesihatan, yang menjadi kekhuatiran kita semua.

Pengarah Operasi SKMM Wilayah Utara, iaitu Encik Ismail bin Haji Othman bersama Encik Anuar telah mengambil inisiatif dengan turun ke kawasan Rapat Setia dan Pekan Razaki bersama peralatan canggih bagi mengukur tahap radiasi di kawasan berdekatan dengan alat pemancar sistem telekomunikasi yang ditegakkan pada bumbung-bumbung bangunan kedai 2 tingkat.

Tahap radiasi yang diukur pada 3 lokasi didapati mematuhi piawai yang ditetapkan badan antarabangsa, iaitu 59v/m. Bacaan pada 3 lokasi tercatat seperti berikut - 0.4 v/m, 2.7 v/m dan 1.6 v/m.

Negara Switzerland adalah negara yang paling peka terhadap masalah pendedahan manusia kepada radiasi dan kesannya secara langsung pada jangka masa panjang, telah menetapkan sendiri piawaian untuk negara mereka iaitu tidak melebihi 4 v/m.

Nampaknya, ketiga-tiga lokasi tadi masih memenuhi garis panduan Switzerland. Sungguhpun begitu, masih terdapat lagi soalan-soalan yang berlegar dalam pemikiran saya. Pihak SKMM berjanji akan menghantar satu bentuk laporan lengkap agar pihak saya dapat mencerna informasi dan dapat memantau pembinaan tiang-tiang telekomunikasi dalam kawasan saya.

Sekalung tahniah dan ribuan terima kasih kepada Encik Ismail dan Encik Anuar dari SKMM atas sikap professionalisma dan dedikasi mereka.

Friday, April 3, 2009

Bukit Gantang - Pilihanraya Kecil Yang Besar







Sewaktu posting ini ditulis, saya sedang sibuk berkempen dan memenangkan calon Pakatan Rakyat, Parliman P059 Bukit Gantang daripada parti PAS, Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin. Jadual harian padat dengan aktiviti lawatan, ceramah dan jamuan makan malam.

Sungguhpun DS Nizar sangat sibuk, beliau masih meluangkan masa bertemu dengan para petugas Pakatan Rakyat di markas dan bilik gerakan PR di kawasan Bukit Gantang bagi memberi galakan dan menunjukkan penghargaan beliau kepada para petugas. Juga beliau masih dapat memperuntukkan masa menziarahi penduduk sekitar yang kematian ahli keluarga mereka.

Hari pengundian semakin hampir, dan isyarat terkini menunjukkan pengundi berpihak kepada PR. Sungguhpun begitu, selagi keputusan belum diumumkan, tiada sesiapa yang boleh menarik nafas lega.

Hari Terakhir Plak Tugu Demokrasi- 14 Mac 2009



Pada hari Sabtu, 14 Mac 2009, saya ke pokok demokrasi bagi menyambut kedatangan rombongan Wanita PKR dari Cheras, dan terkejut mendapati plak tugu demokrasi yang telah dirosakkan pada hari sebelumnya. disimbah dengan cecair hitam likat yang menyerupai tar jalanraya.

Menurut seorang penduduk berdekatan, pada jam 2 pagi sewaktu beliau melalui pokok demokrasi tersebut, plak masih berkeadaan seperti hari sebelumnya.

Rupanya plak batu yang menjadi simbol perjuangan rakyat Perak yang cintakan demokrasi menjadi musuh kepada sesestengah pihak sehinggakan pada hari berikutnya, seawal jam 7.30 pagi, pihak Majlis Bandaraya Ipoh telah merobohkan terus tugu demokrasi tersebut dengan alasan ianya mengganggu lalu lintas.