Thursday, December 30, 2010

Rakyat dibebani Kenaikan Harga Barang


SIMPANG PULAI - Keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat merungut kerana terus dibebankan dengan kenaikan harga barang, khususnya petrol dan gula.

Rakyat dibebankan dengan kenaikan Petrol RON95, sebanyak 5 sen menjadikan RM1.90 seliter dan dua hari sebelum dikuatkuasakan, petrol RON97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter.

Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan RM1.90 sekilogram malah lebih mendukacitakan harga gula pula naik 20 sen menjadikan RM2.10 sekilogram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai berkata, disebabkan kenaikan itu, pihaknya mengambil inisiatif bertemu pengusaha sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai.

Menurutnya, beliau bersimpati dengan nasib rakyat terutamanya rakyat miskin malah peniaga turut berhadapan dengan pelbagai masalah kesan kenaikan harga oleh kerajaan.

" Golongan peniaga, baik pekedai runcit, pengusaha restoran, pembekal dan apa sahaja tentu terkesan dengan kenaikan harga barangan terutamanya petrol.

" Kita perlu sedar bahawa akibat kenaikan harga petrol dalam negara, tentu sahaja peniaga terpaksa menaikkan harga makanan, akhirnya menyusahkan rakyat sendiri, " katanya.

Ming Kai berkata, seharusnya kerajaan lebih prihatin dan mendahulukan rakyat dalam hal berkenaan selain tidak membiarkan rakyat terus dirundung malang dengan keadaan ekonomi yang semakin menghimpit.

" Janji mendahulukan rakyat oleh Menteri Perdagangan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 November lalu menyatakan bahawa kerajaan memberi jaminan harga minyak RON95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat namun, 3 Disember lalu naik 5 sen dan perkara ini mendukacitakan," katanya.

Sementara itu katanya, kunjungan itu juga bagi mengucapkan selamat maju jaya dalam menempuh tahun baru yang diharapkan lebih baik daripada tahun sebelumnya kepada peniaga.

'Di kala ekonomi yang tidak menentu dengan kenaikan harga barangan utama, tentu sahaja cabaran besar menanti mereka dalam membekalkan perkhidmatan kepada rakyat.

" Tahun baru ini, kita menjangkakan akan berlaku lagi kenaikan harga keperluan asas lain, jika ia naik tentu membebankan peniaga dan pengguna," katanya.


- Keratan Sinar Harian Perak 30 Disember 2010

Tuesday, December 21, 2010

Kempen Daftar Pengundi Dapat Sambutan



Kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum, mendorong aktivis KEADILAN menganjurkan kaunter pendaftaran pengundi baru.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, kempen tersebut diadakan bagi membuat semakan dan mendaftar mereka yang telah layak mengundi di kawasan Parlimen Gopeng.

Menurutnya, atas tanggungjawab berkenaan, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai menganjurkan satu program daftar pengundi di Taman Song Choon.

" Program ini mendapat sambutan menggalakkan kerana ramai yang berminat untuk mengetahui taraf mereka sebagai pengundi dan di mana undi mereka akan dibuang.

" Kita boleh lihat kehadiran golongan muda amat menggalakkan dan maklum balas yang diberikan begitu baik sekali malah ada segelintir daripadanya turut memberikan idea serta cadangan yang baik kepada kami," katanya.

Dr Lee berkata, walaupun pada masa kini KEADILAN 'diserang' habis-habisan dari segenap sudut namun parti berkenaan tetap teguh dan mendapat maklum balas yang baik daripada rakyat.

" Kaunter daftar pengundi ini berjaya mendaftarkan 212 pengundi baru dan yang bertukar alamat dalam masa 2 jam sahaja.

" Malah dalam hiruk pikuk tekanan dan cercaan terhadap Parti KEADILAN Rakyat umumnya, namun sokongan masyarakat tidak terjejas sebaliknya semakin meningkat," katanya.

Sementara itu Chan Ming Kai berkata, kempen itu merupakan medium terbaik bagi KEADILAN khususnya dan Pakatan Rakyat memberi maklumat terkini senario politik negara malah pihaknya bercadang untuk meneruskan siri jelajah daftar pemilih berkenaan.

" Pihak kami menghantar sejumlah 6,000 notis pemberitahuan mengenai kaunter ini ke sekitar Taman Song Choon termasuk Taman Seri Botani dan Seri Margosa yang berada dalam DUN selian saya.

" Oleh kerana sambutannya amat baik, kami bercadang mengadakannya lagi di kawasan lain dalam Parlimen Gopeng dari semasa ke semasa dan kita akan gerakkan usaha ini secara berperingkat," katanya.

Petikan daripada Sinar Harian



Monday, November 22, 2010

Tak Kenal Maka Tak Cinta - Pengertian dalam Kesabaran


Ianya telah datang dan pergi. Hadirnya bersama seribu persoalan. Perginya dengan pelbagai kontroversi.

Pemilihan dalaman Parti KEADILAN Rakyat tahun 2010 yang berprinsip kepada 1 ahli, 1 undi mengundang reaksi pelbagai tatkala dicetuskan seawal tahun 2009. Persoalan yang dibangkitkan adalah dari segi logistik, kos dan ketelusan pemilihan itu sendiri.

Kalau dikirakan tentang 'ketelusan', samada sistem pengundian terus atau sistem perwakilan, masih boleh ianya jadi satu pertikaian.

Pemilihan cara 1 ahli, 1 undi ini adalah yang pertama dianjurkan oleh parti politik di Malaysia. Dan ianya dimulakan pula oleh parti yang dianggap 'baru setahun jagung', Parti KEADILAN Rakyat.

Budaya baru yang dimulakan oleh KEADILAN dilihat dapat mengubah lanskap politik tanahair. Setiap anggota parti mempunyai kuasa yang sama. Tiada lagi sistem perwakilan dan perebutan untuk menjadi perwakilan. Dengan sendirinya rasuah politik disekat daripada bertapak dalam KEADILAN. Maka tidak hairan ianya mendapat kecaman hebat pihak lawan. Sistem pemilihan sebegini TIDAK BOLEH dilihat sebagai 'berjaya' di mata rakyat.

Parti lawan yang berbangga dengan keahlian mencecah 2 juta orang, dengan dana yang besar, malah tidak mampu untuk membuat sistem pemilihan yang sebegitu. Adakah rakyat Malaysia sedar bahawa Perdana Menteri Malaysia ditentukan oleh 2,500 perwakilan sahaja? Bagi mewakili 27 juta rakyat Malaysia? Ketelusankah itu?

KEADILAN punya keahlian lebih 400,000 orang di seluruh negara. Sewaktu pengundian terdapat beberapa insiden kekecohan berikutan nama ahli berdaftar lesap daripada senarai. Ini 'sumbangan' ahli berjawatan yang telah melompat keluar.

Dana tidak berapa nak cukup. Itu hakikat yang diakui. Dan Jawatankuasa Pengawas Pemilihan (JPP) yang sering dipersalahkan itu, jumlahnya tidak sampai separuh daripada bilangan yang diperlukan.

JPP perlu bergerak sendiri, dengan kenderaan sendiri untuk mengendalikan urusan pemilhan di Cabang-cabang, dengan menggunakan duit sendiri sementara menantikan 'claim' daripada Pusat. Mereka tidak boleh menjadi calon di peringkat Cabang mahupun Pusat dan terlepas peluang utnuk mengundi. Urusan makan minum mereka sementara mengendalikan satu-satu pemilihan adalah atas ehsan pihak Cabang. Ada kalanya setitik air pun tak dapat! Ini kisah benar.

Namun inilah pengorbanan. Untuk melihat sistem yang baik terlaksana.

Tentu masih ada kekurangannya di sana-sini. Tegurlah ia dengan Kebenaran dan tegurlah ia dengan Kesabaran.

Bagi ahli-ahli Parti, berhentilah daripada bercakaran sesama sendiri. Rakyat menilai kita dan musuh bersorak riang. Berhentilah daripada menimbulkan rasa gusar rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat. Fikirkan juga perasaan mereka.

Berhentilah menghentam Parti melalui media, berhenti mengusung kain rentang dan sepanduk berbaur negetif, dan berhenti membuat komen-komen yang bagai meludah ke langit dalam FB.

Ini Parti kita. Ini maruah kita.









Friday, October 29, 2010



Posting pertama blog ini adalah pada 3hb Oktober 2008. Blog ini saya gunakan bagi mewar-warkan segala aktiviti dalam DUN Simpang Pulai dan menyatakan pandangan serta pendirian saya berlandaskan fakta.

Tidak pernah saya gunakan blog ini untuk menyerang mana-mana individu. Prinsip saya ialah saya akan nyatakan 'my side of the story'. Terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian.

Namun ada satu blog yang konsisten menyerang saya. Blog yang 'berharap menjadi satu saluran untuk menyatakan' ini sering membuat tuduhan melulu dan serangan peribadi terhadap saya.

Yang paling dikesalkan, bukan sahaja saya seorang yang kena, malah orang di sekeliling saya turut terkena tempiasnya.

Antara lain, blog ini sering membangkitkan isu saya memakai baju Melayu dan bersongkok.

Hairan. Datuk Lee Chong Wei bila berpakaian baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping dikatakan kebanggaan negara. Saya dikatakan cuba menipu orang Melayu.

Dewasa ini ramai pelajar-pelajar perempuan bukan Melayu yang memakai pakaian seragam baju kurung ke sekolah. Itu bagaimana?

Penulis upahan ini seringkali cuba membangkitkan sentimen orang Islam/ Melayu terhadap saya. Inilah cara UMNO BN.

Kalaulah cara ini masih berkesan, UMNO BN telah menang besar Pilihan Raya Umum 2008. Jika formula ini masih boleh dipakai, UMNO BN tidak perlu berjerih perih menghadapi siri-siri Pilihan Raya Kecil yang bagai tiada noktah ini.

Bagi penulis-penulis upahan ini, inginlah saya sebut di sini hukamak Arab yang sering saya gunakan dalam ceramah - Manjadda, Wa jada

Maksudnya, 'Siapa yang menanam, Dia yang menuai'. Sekiranya benih baik yang kita tanam, maka hasilnya pun baik. Namun jika kita asyik menanam benih buruk, maka buruklah balasan yang akan kita dapat.

Sekiranya penulis upahan ini Islam, tentu mereka faham akan konsep pahala, dosa, halal dan haram. Apakah status upah yang mereka perolehi yang diberi makan kepada anak dan isteri? Dapatkah mereka membina keluarga bahagia dengan upah daripada kerja yang tidak beretika ini?

Bagi yang bukan Islam pun percaya akan konsep 'hukum alam' atau 'karma'.

Saya boleh saja membalas dengan cara yang sama. Tetapi saya tidak akan jadi sekeji itu.

Friday, October 15, 2010

Hati-hati Sindiket Loteri



Tuan Syed Rasdi Bin Syed Aziz Baftim dan Puan Lee Moy Kooi memegang surat tawaran loteri yang mereka terima


Dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit ini, wang menjadi tarikan utama kepada manusia.

Namun dalam keghairahan mengejar wang, berhati-hatilah kerana terdapat pihak yang akan mengambil kesempatan atas kelemahan manusia ini.

Tuan Syed Rasdi Bin Syed Aziz Baftim, 68 tahun dan Puan Lee Moy Kooi, 53 tahun masing-masing menerima surat daripada sebuah syarikat loteri Sepanyol yang menyatakan mereka telah memenangi wang tunai sebanyak 8 juta Euro!

Too good to be true. Mujurlah kedua-dua penerima surat ini mengambil langkah berhati-hati.

Kebetulan kedua-dua mereka tinggal dalam taman perumahan yang sama. Setelah diteliti, terdapat beberapa penipuan yang jelas - surat tersebut adalah merupakan salinan, no siri kemenangan dan kategori yang mereka menangi juga adalah sama.

Syarikat loteri itu juga melarang penerima surat daripada menghebahkannya kepada pengetahuan umum. Dan yang paling bahaya sekali ialah, syarikat meminta butiran peribadi termasuk no akaun bank serta tandatangan penerima agar mengizinkan syarikat terbabit 'menguruskan' wang loteri tersebut.

Tuan Syed Rasdi seorang pesara merasa hairan bagaimana nama beliau boleh dikaitkan dengan syarikat loteri sedangkan beliau tidak pernah terbabit dengan sebarang bentuk perjudian seumur hidupnya.

Puan Lee juga khuatir bagaimana nama dan alamat rumah beliau diperolehi syarikat daripada negara Sepanyol sedangkan beliau adalah seorang surirumah sepenuh masa dan tiada tabiat berjudi.

Saya terpanggil untuk menampilkan isu ini kerana tidak mahu ada yang tertipu dengan sindiket yang sebegini. Juga ingin mengingatkan agar setiap daripada kita supaya berhati-hati sebelum mendedahkan butiran peribadi.

Terdapat pelbagai cara butiran peribadi kita didedahkan tanpa kita sedari. Umpamanya syarikat-syarikat yang menawarkan hadiah-hadiah kecil, namun sebelum kita dapat menuntut hadiah tersebut, kita disyaratkan agar mengisi borang data peribadi.

Maka berhati-hatilah.

Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Thursday, October 14, 2010

Cara Kami / Our Way


Inilah kek yang ditempah khas untuk kami berlima.

Rupanya surprise birthday party..........

Beberapa aktivis kami merancang sambutan ulang tahun kelahiran kami berlima - saya, Makcik Sabariah, Sdri Zura, Sdri Iza dan Sdr Helmi dengan cukup surprise! Kami semua tak dapat menghidu 'konspirasi' yang dirancang mereka.

Hari jadi saya jatuh pada 7 Oktober, Zura 13 Okt, Iza 14 Okt, Helmi 19 Okt manakala Makcik Sabariah pula pada 2 Okt. Sayangnya Helmi tak dapat hadir sebab bertugas ke luar daerah.


Nak potong kek beramai-ramai pun cukup kecoh!








Yang muda menghormati yang lebih berusia. Yang berusia menyayangi yang lebih muda.





Sederhana tetapi cukup meriah dan mesra. Inilah cara kami.

We did it our way.

Monday, September 27, 2010

Kemeriahan Syawal 1431 Hijrah

Maafkan saya kerana lama tidak masukkan 'entry'. Al maklum, sibuk memenuhi undangan jamuan raya di sana sini. Seperti tahun-tahun lepas, pagi-pagi lagi saya keluar rumah untuk bersama sahabat dan rakan seperjuangan, kunjung mengunjungi meraikan Aidil Fitri.


Inilah baju raya saya pada tahun ini.


Acara bergambar, selain daripada acara makan, amat diutamakan.


Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah sudi menjemput saya ke majlis-majlis Aidil Fitri, samada badan kerajaan, masjid, surau dan orang perseorangan.

Layanan mesra yang anda tunjukkan amat saya hargai.

Monday, September 6, 2010

Ziarah Ramadhan ke Kg Tanjung - 27 Ogos 2010

Aktiviti Ramadhan saya diisi lagi dengan berkunjung ke kampung tradisi dalam DUN Simpang Pulai, iaitu Kg Tanjung. Terletak dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

Saya kerap juga berkunjung ke sini dan pernah beberapa kali bersama dalam program di surau mereka. Pada tahun ini saya sempat mendengar tazkirah di sini.

Kunjungan pada kali ini turut disertai Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dan ahli-ahli Wanita KEADILAN Gopeng.

Cukup menggembirakan apabila penduduk kampung menyapa saya dengan mesra.



YB Dr Lee Boon Chye sempat memeriksa keadaan seorang makcik tua yang agak uzur


Sumbangan beras dan sedikit duit raya bagi yang memerlukan. Diharap dapat memberikan sedikit keceriaan kepda mereka.


Kg Tanjung berhadapan dengan isu penempatan tanpa geran. Isu ini menjadi perhatian utama saya sebaik bergelar wakil rakyat. Sesi dialog pertama dengan penduduk kampung telah diadakan pada 21 September 2008. Proses yang memakan masa ini bakal diselesaikan.

Pendudk Kg Tanjung yang tidak bergeran akan menerima geran mereka tidak lama lagi.

Memberi penerangan tentang isu geran tapak rumah kepada penduduk kampung.


Nenek tua yang uzur ini mungkin tidak menyedari pun kehadiran kami. Harapan kami semoga kedatangan kami dapat menambahkan kekuatan keluarga beliau dalam menjaga nenek ini.


Duit raya untuk bayi perempuan ini yang pertama kali menyambut Eidul Fitri

Tuesday, August 24, 2010

Program Ramadhan - Edar Bubur Lambuk 21 Ogos 2010



Salam Ramadhan Al Mubarak bagi seluruh umat Islam. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sibuk bagi saya. Selain memenuhi undangan berbuka puasa di surau-surau dan kediaman kawan-kawan yang beragama Islam, pada tahun ini saya mengambil peluang untuk mendengar tazkirah yang disampaikan selepas selesai solat sunat Terawikh.

Walaupun tidak dapat memahami dengan penuh isi kandungan tazkirah berkenaan, masih juga saya dapat menimba ilmu sedikit.

Di sebuah surau yang saya pergi, para jemaah bersalaman sambil berselawat setelah selesai tazkirah dan ini cukup menarik.

Tahun ini saya turut serta dalam program anjuran Wanita KEADILAN Gopeng untuk mengedarkan bubur lambuk. Kami mengagih-agihkan bubur tersebut kepada qariah Surau Zaidunniah, Kg Simpang Pulai.


Menyusun bubur dalam bekas. Panas.


Iza Suraiya, Sekretariat DUN Simpang Pulai yang sentiasa ceria


Wanita KEADILAN Gopeng berbincang apa ye, sebelum mula mengedar


Bersama Ketua Kampung PR, Kg Simpang Pulai - Bob



“ Untuk memahami adab resam, budaya dan agama masyarakat berbilang bangsa tidak cukup dengan pembacaan semata-mata. Malah kita perlu turut serta selagi tidak menyalahi dan menyentuh sensitiviti penganut agama tersebut.”



“ Saya difahamkan bukan Islam boleh hadir ke masjid dan surau dengan syarat berpakaian sopan dan tidak menimbulkan kacau ganggu. Setakat ini saya diterima dengan baik. “




Pak Imam surau


Senyuman persaudaraan daripada qariah surau

Hidup bersama dalam negara seperti Malaysia perlu kepada kefahaman terhadap pelbagai anutan dan budaya masyarakatnya. Usaha merapatkan diri dengan masyarakat adalah sebahagian daripada tanggung jawab sebagai wakil rakyat.

Maka bentuk pendekatan sebegini akan saya teruskan supaya saya dapat menjadi pemimpin masyarakat yang lebih efektif.

Sesuai dengan Ramadhan yang penuh keberkatan, maka seeloknya kita rapatkan hubungan kemanusiaan dan sentiasalah berbaik sangka.

Thursday, August 12, 2010

Perak berdepan Defisit Tinggi

SIMPANG PULAI - Pakatan Rakyat (PR) Perak konsisiten dalam pendirian yang menyatakan Perak berdepan defisit sebanyak RM104 juta jika Rang Undang-undang Perbekalan berjumlah RM80 juta diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai berkata, jumlah defisit negeri sebelum ini RM23.89 juta ditambah RM80 juta menjadikan jumlahnya hampir RM104 juta.

Menururnya, walaupun kenyataan berkenaan dibidas Meteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dengan menyatakan tidak wujud defisit namun ia sangat meragukan.

"Zambry dalam satu kenyataannnya sebelum ini menyatakan tidak wujud defisit kerana negeri memperoleh pertambahan hasil luar jangka sebanyak RM117 juta.

"Namun ini juga bukan satu persoalan besar selain itu kami juga ingin bertanya adakah benar pertambahan hasil luar jangka tersebut disebabkan kecekapan kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri Perak atau sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian.

Ming Kai berpendapat pendapatan luar biasa itu datangnya daripada hasil premium tanah dan kenaikan cukai tanah awal 2010.

"Polisi kerajaan Pakatan Rakyat yang menawarkan pemberian geran kekal kepada kampung tradisonal dan kampung baru menyebabkan ratusan rakyat membuat permohonan namun ia tergantung sehinggalah ditolak pada September tahun lalu.

"Sementara surat tawaran kepada pemilik tanah yang membuat permohonan bagi melanjutkan geran mereka sehingga 99 tahun maksimum, cuma dikeluarkan pada Disember 2009. Maka pemilik tanah majoritinya membuat pembayaran pada 2010 yang menyumbang kepada 'hasil luar jangka' ini," katanya.

Beliau berkata, proses penukaran status geran ini juga melibatkan kos lebih RM500 bagi setiap permohonan.

"Walaupun polisi geran kekal dibatalkan, tetapi kos yang dibayar rakyat ini tidak dikembalikan dan cukai tanah juga dinaikkan secara berperingkat.

"Ke mana wang itu akan dibelanjakan juga menjadi satu persoalan kerana ruang untuk perbahasan tidak dibuka dengan seluas-luasnya berikutan sidang cuma diadakan satu hari sahaja," katanya.

Katanya,walaupun kerajaan BN merancang untuk menggunakan RM30 juta bagi pentadbiran dan pembangunan sementara RM50 juta lagi untuk pelaburan, bagaimana dengan kenyataan ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dalam media baru-baru ini.

'Beliau menyatakan pertambahan peruntukan akan digunakan untuk membantu kontraktor Kelas F yang ketandusan projek ketika ini akibat pembekuan projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) oleh Kerajaan Pusat tahun ini.

"Ini jelas adalah satu bentuk ketidakadilan kerana hasil dikutip dari rakyat hanya dinikmati segelintir individu sahaja, malah ini berbeza dengan corak pemerintahan PR yang berjimat cermat dalam berbelanja sehingga mempunyai lebihan RM100 juta tanpa menaikkan cukai," katanya.

- Keratan akhbar Sinar Harian 08/08/2010

Sunday, July 11, 2010

Pos Malaysia - Kaji semula tarif kenaikan harga



Kenaikan sehingga 100% harga setem pos domestik amat dikesali. Mengikut harga baru bagi mel standard dengan berat sehingga 20 gram, berlaku kenaikan daripada RM0.30 ke RM0.60. Manakala bagi berat sehingga 50 gram, ia dinaikkan daripada RM0.40 ke RM0.70.

Kenaikan tarif harga juga berlaku pada penghantaran dokumen dan bungkusan.

Pos Malaysia dalam kenyataan akhbarnya ada menyebut bahawa harga baru setem domestik adalah berasaskan kos sebenar bagi pemprosesan dan penghantaran barangan pos sejajar dengan keadaan ekonomi sekarang.

Namun benarkah begitu?

Kenaikan harga setem dan perkhidmatan pos adalah rentetan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Awang Adek Hussein yang mengumumkan Pos Malaysia rugi RM227 juta dalam masa 3 tahun ekoran pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara Transmile Group Berhad.

Sekali lagi rakyat didahulukan. Salah urus tadbir dan percaturan silap Pos Malaysia akibatnya terpaksa ditanggung oleh rakyat jelata.

Pada sidang PAC (Public Accounts Commitee) yang lalu, pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid menegaskan kerugian yang ditanggung Pos Malaysia bukan disebabkan pentadbiran tetapi disebabkan pelaburan. Itupun disebabkan kejatuhan pada pasaran saham Transmile. Pos Malaysia mempunyai kepentingan 15% dalam syarikat tersebut.

Pos Malaysia perlu memikirkan cara lain bagi mengatasi kerugian serta mengkaji semula langkah drastik menaikkan harga setem sehingga 100%. Ini kerana masih banyak lagi jenis perniagaan yang bergantung kepada Pos Malaysia. Sudah tentu ianya akan mengakibatkan kenaikan kos pengeluaran berlipat kali ganda.

Kenaikan kos pengeluaran bakal menyebabkan kenaikan harga barangan yang seterusnya akan membebankan pengguna.

Tuesday, June 22, 2010

Red Warriors - The over looked Heroes

Bila kita menyebut tentang pahlawan (warrior) tergambarlah anggota tentera atau anggota polis.

Kita biasa mendengar tentang sambutan 'Hari Pahlawan' atau sambutan 'Hari Polis' tetapi jarang sekali mendengar atau pun menyedari akan wujudnya sambutan 'Hari Bomba Sedunia' yang jatuh pada 4 Mei setiap tahun.

Anggota bomba seluruh dunia memang layak dipanggil 'Red Warriors'. Mereka mengejar api dikala orang lain bertempiaran lari daripadanya.

Mereka juga menyelesaikan kes-kes seperti menangkap ular dan memusnahkan sarang tebuan.

Mereka orang pertama disalahkan sekiranya terlewat sampai ke tempat kebakaran. Dipersalahkan lagi kononnya tekanan air tak mencukupi, pili bomba tak servis dan pelbagai hal lagi atas isu yang kita sendiri pun sebenarnya tak berapa nak faham.

Sedarkah masyarakat yang kebanyakan pili bomba rupanya togel sahaja, seperti gambar di bawah.



Atas sikap tidak bertanggung jawab atau atas kesempitan hidup yang makin menghimpit, bahagian yang seakan cembul di kiri dan kanan tiang pili bomba ini, selalu dicuri. Ianya dipanggil 'outlet coupling'. Tanpa outlet coupling ini, air tidak dapat dipam keluar.

Pihak bomba terpaksa mencipta peralatan outlet coupling yang portable dan mudah dibawa ke mana-mana bagi mengatasi masalah ini. Setiap jentera bomba dibekalkan peralatan ini.

Beginilah rupa salah satu jenis 'senjata' ahli bomba - outlet coupling




Mengikut prinsip dan praktis, dalam kejadian rumah kediaman terbakar, tidak kurang daripada 3 jentera bomba yang membabitkan 18 orang anggota akan bergegas pergi.

Setiap jentera Bomba yang biasa dibekalkan 250 gelen air manakala lori air mereka pula mampu mengangkut 10,000 gelen air. Air ini digunakan bagi memadamkan api sementara mencari punca air - pili bomba, sungai atau lombong.


Saya telah ditunjukkan cara-cara pemasangan outlet coupling
ini




Pernahkah kita meletakkan kereta berhampiran pili bomba? Mungkin pada siang hari kita takut disaman. Tetapi pada malam hari, banyak kenderaan diparkir berdekatan pili bomba hingga menyukarkan pihak bomba mencarinya dalam saat-saat kecemasan. Kebakaran biasa berlaku pada malam hari.


Peralatan outlet coupling yang telah siap dipasang




Pihak bomba memeriksa setiap pili bomba 2 kali setahun. Secara ideal, pada jarak setiap 100 meter patut ada 1 pili bomba dipasang.

Orang awam disaran supaya sentiasa peka dengan pili-pili bomba berdekatan kawasan kediaman atau pejabat. Kadang-kadang wujud sikap ambil mudah sesetengah pihak yang mencabut pili bomba atas alasan pembangunan. Maka orang awam perlu menyalurkan maklumat kepada pihak Bomba.


Dah keluar pun airnya...




Pihak Bomba juga mengambil langkah pro aktif dengan menganugerahkan sijil kepada tuan rumah paling hampir dengan satu-satu pili bomba sebagai menggalakkan tuan rumah tersebut menjaga pili bomba berkenaan. Seperti konsep 'anak angkat'.


PA saya sempat berangan jadi ahli bomba



Setinggi-tinggi penghargaan terhadap Jabatan Bomba dan Penyelamat, Negeri Perak Darul Ridzuan yang memberi kerjasama cukup baik dan respon yang pantas atas permasalahan pili-pili bomba ini.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Encik Nasir bin Sham dan Encik Jalil bin Ahmad yang memberi penerangan cukup terperinci dengan demonstrasinya sekali.

Monday, June 21, 2010

Keceriaan Kampung Sengat

Kampung Sengat.

Termasuk dalam DUN Simpang Pulai. Semasa kempen Pilihan Raya Umum 2008, saya tidak sempat turun ke kampung ini. Juga kerana kami tiada aktivis di sini.

Tidak menghairankan saya kalah di daerah mengundi ini. Tapi saya cuma kalah sedikit sahaja.

Antara kawasan terawal yang saya kunjungi selepas sah bergelar wakil rakyat, adalah Kg Sengat.

Bercampur baur sambutan yang saya terima pada mulanya. Ada yang terang-terang beritahu saya - "I'm sorry but I don't trust you,"

Namun ramai yang memberi reaksi positif.

Selepas rampasan kuasa, saya tetap menjalankan kerja seperti biasa. Nampaknya penduduk kampung masih dapat menerima saya dengan baik. Selagi ada jemputan, akan saya cuba penuhi. Sebaik mengetahui ada kematian atau musibah, akan saya ziarahi.

Saya bertuah kerana Ketua Kampung Kerajaan Pakatan Rakyat Perak amat ikhlas menjalankan tanggung jawab beliau, walaupun setelah dirampas.

Malah saya perhatikan beliau nampak lebih bersemangat lagi setelah berlakunya rampasan kuasa. Tuan Haji Zainudin Mohamad, isteri beliau Puan Asma Mahidin dan keluarga, amat komited dalam perjuangan rakyat ini.

Ahli-ahli jawatan kuasa Kg Sengat, yang lama dan baru, budi anda tetap saya hargai. Walaupun ada yang telah beralih arah, seminit kalian bersama dalam perjuangan rakyat tentu lebih besar nilainya daripada 1000 tahun dalam perjuangan mengejar kebendaan.

Yang masih bersama kami, tetapkan hati. Cabaran amat besar menanti. Imbuhan belum pasti.

Namun dalam proses menjiwai kehidupan rakyat, saya terpalit juga dengan sedikit kontroversi. Puncanya - saya ikut bertakbir dari rumah ke rumah pada malam Hari Raya. Terpampang muka saya di YouTube. Malah cerita itu dapat tempat dalam Utusan Malaysia! Muka 6, not bad...

Pengalaman pertama mengikut kumpulan bertakbir dari rumah ke rumah pada malam Hari Raya Aidil Fitri.




Jambatan yang pernah meragut nyawa seorang penduduk kampung telah dinaik taraf pada bulan Disember 2009. Dalam kejadian malang pada awal tahun yang sama, seorang penunggang motorsikal telah terbabas lalu terjatuh ke dalam sungai disebabkan cuaca gelap dan jalan licin




Sambil pantau kontraktor MBI bersihkan kampung, cuba-cuba jugaklah kan. Asyik tau buat aduan, sekali-sekala kena tolong sikit.




Meneliti longkang yang dibina pihak berwajib setelah hampir setahun aduan dibuat. Pihak kami maklum bahawa peruntukan amat terhad...




Dalam sesi turun kampung, sentiasa kami berbincang dalam suasana cukup mesra. Saya amat menghargai kemesraan ini.




Untuk aktiviti santai, saya pernah menganjurkan minum pagi bersama.




Bagi golongan muda pula, saya dan team saya memasang layar putih (skrin)untuk menonton World Cup beramai-ramai. Sound system
pun boleh tahan. Ada pula disediakan minuman panas dan sejuk serta makanan ringan. Memang seronok.

Sempat bebincang semasa 'half time'


Bersama menonton World Cup